PETALING JAYA: Kira-kira 248,000 pesawah seluruh negara didakwa terkesan akibat kenaikan input pertanian terutamanya harga racun dan baja yang meningkat antara 40 hingga 100 peratus sehingga menjejaskan pendapatan mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Mohd. Fuad Yaacob berkata, kenaikan harga racun meningkat sejak 2020 tetapi boleh ditampung kerana kerajaan sebelum ini memberi bantuan subsidi percuma RM300 untuk sehektar padi.
Bagaimanapun katanya, bantuan tersebut menurun kepada RM200 untuk sehektar padi ketika ini sekali gus memberi kesan kepada pesawah untuk menampung kenaikan kos berkenaan.
Katanya, ini kerana pesawah tetap perlu menampung pembelian tambahan barangan berkenaan meskipun kerajaan memberi bantuan pada kadar RM300 sebelum ini, apatah lagi jika ia dikurangkan RM100.
“Kenaikan harga racun naik daripada 40 hingga 100 peratus. Kalau dulu contoh RM40, sekarang dekat RM100. Kalau sebelum ini RM50 sekarang sudah jadi RM75. Boleh dikatakan semua jenis racun naik harga antaranya jenis racun ulat dan racun dalam sawah padi.
“Selain itu, baja pun naik harga. Kalau sebelum ini RM50 sekarang RM80. memang kerajaan bagi baja subsidi yang dikeluarkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), tetapi pesawah tetap perlu tambah kuantiti baja. Jika mahu kurangkan kos, (boleh sahaja) pakai baja subsidi, tetapi boleh menyebabkan tanaman padi tidak elok (subur).
“Semua ini memberi kesan kepada pendapatan pesawah apabila perlu keluar belanja mahal (untuk memulakan tanaman padi). Contoh sebelum ini mungkin semusim RM1,000, sekarang jadi RM1,500 dan ia bergantung kepada keluasan yang diusahakan, lagi banyak bendang maka lagi banyak belanja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mohd. Fuad berkata, biarpun pesawah kini menerima manfaat daripada Bantuan Khas Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dan wang bantuan sebanyak RM600 selama tiga bulan ketika tempoh rehat, tunggu dan tuai, namun kenaikan kos barangan itu tetap membebankan.
Katanya, ini kerana mereka terpaksa berdepan dengan kenaikan kos tersebut, tetapi harga tanaman padi masih tetap pada tahap yang sama sahaja.
“Petani mengeluh sebab harga padi macam itu saja, tetapi harga barangan naik sedangkan harga padi ditentukan oleh kerajaan dan bukannya petani.
“Dengan kenaikan kos, kerajaan mahu beri rakyat makan beras murah, tetapi kenaikan kos ditanggung oleh pesawah,” jelasnya.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan menyemak semula kawalan harga beras supaya ia selari dengan kenaikan kos yang dihadapi pesawah.
“Kalau boleh kekalkan (bantuan subsidi racun) RM300 sebab kos sudah meningkat banyak. Siapa pun yang naik perlu prihatin kepada rakyat, jangan ubah dan sepatutnya tambah.
“Kita harapkan mungkin ada bajet tambahan untuk bantu selain kena lihat semula dari segi kenaikan kos. Kena lihat kos semasa untuk kawal harga beras,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, selain inisiatif yang berbentuk ad hoc, kerajaan perlu mempunyai satu mekanisme bersepadu untuk membantu pesawah padi yang terkesan.
Katanya, ini kerana umum mengetahui pesawah menjalankan aktiviti tanaman padi itu bukannya untuk mengaut keuntungan, tetapi bagi menjamin keselamatan makanan (food security).
“Isu kenaikan input pertanian itu sememangnya sudah berlaku sejak sekian lama dan kita pun tahu masyarakat pesawah menjalankan aktiviti itu bukan mahu kaut untung.
“Mereka lebih kepada menjamin keselamatan makanan, maka mahu tidak mahu kerajaan kena beri bantuan dan tidak dinafikan beberapa bantuan sudah diberikan. Tetapi ia tak boleh sekadar bantuan, kena fikirkan penyelesaian untuk bantu pesawah padi terus bertahan.
“Sudahlah mereka berdepan harga input pertanian yang mahal, mereka juga berdepan cuaca ekstrem sama ada musim tengkujuh yang menyebabkan padi akan musnah atau musim panas berterusan yang menyebabkan padi boleh mati apabila ia berlanjutan tempoh lama,” katanya.
Sehubungan itu katanya, mekanisme yang bersepadu itu perlu diteliti segera bagi mengelakkan pesawah terus berdepan kenaikan kos input pertanian dan cuaca ekstrem yang boleh menjejaskan pendapatan mereka.
Lebih membimbangkan katanya, benih-benih padi juga kadangkala bermasalah sehingga menyebabkan serangan penyakit.
“Kalau diikutkan sesetengah pesawah mereka macam tidak mahu buat bendang dah, tetapi (terpaksa) oleh kerana mengenangkan keselamatan makanan.
“Jadi perlu mekanisme itu supaya isu-isu yang membelenggu masyarakat pesawah tidak berlarutan,” katanya. – UTUSAN










