PETALING JAYA: Jerebu yang semakin memburuk menyebabkan sekolah di tujuh negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup, manakala penutupan di Pahang dan Perak hanya membabitkan daerah tertentu.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penutupan sekolah hari ini di seluruh Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, manakala di Pahang hanya membabitkan daerah Rompin.
Beliau turut meminta semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terus memantau keadaan jerebu serta mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan.
“Keputusan penutupan sekolah pada masa akan datang akan dimaklumkan lebih awal supaya ibu bapa mempunyai masa mencukupi untuk membuat persediaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, sebanyak 362 sekolah di Kinta dan Kuala Kangsar diarahkan ditutup serta-merta susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Tasek mencecah 180 setakat pukul 11 pagi.
Katanya, penutupan itu membabitkan 154,404 pelajar serta 14,619 guru dan berkuat kuasa sehingga dimaklumkan semula oleh JPN Perak.
Semua sekolah terbabit diarahkan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR), manakala guru serta Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) perlu bekerja dari rumah, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa.
Setakat pukul 4.30 petang ini, sebanyak 37 kawasan di seluruh negara merekodkan IPU tidak sihat, dengan Seremban mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 189.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Bukit Rambai merekodkan bacaan 187, diikuti Segamat (185), Tangkak (184), manakala Bandaraya Melaka, Johan Setia dan Tasek Ipoh masing-masing mencatatkan 183.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Johor Bahru dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai pula mendapati keadaan jerebu turut menjejaskan jarak penglihatan.
Ibu bapa dan penjaga diminta mengikuti makluman rasmi pihak sekolah, PPD serta JPN mengenai pengoperasian dan tarikh pembukaan semula sekolah.
Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana. – UTUSAN











