KERAJAAN akan memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur dan perlindungan sosial yang bukan sahaja menangani keperluan semasa rakyat, malah membuka lebih banyak ruang untuk isi rumah meningkatkan pendapatan serta membina ketahanan ekonomi jangka panjang.
Pendekatan itu akan melihat perbelanjaan awam sebagai instrumen untuk merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, khususnya di Sabah dan Sarawak serta kawasan luar bandar dan pedalaman, di samping memperkukuh jaringan pengangkutan, infrastruktur digital, kemudahan kesihatan dan pendidikan.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, pelaburan awam akan ditumpukan kepada projek yang memberikan nilai terbaik kepada rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang merentas negeri dan wilayah.
“Usaha ini akan memacu pertumbuhan seimbang merentas wilayah dan negeri terutamanya di Sabah dan Sarawak dengan memberi penekanan terhadap kawasan luar bandar serta pedalaman bagi merapatkan jurang antara bandar dengan luar bandar.
“Bagi kawasan luar bandar, tumpuan akan diberikan kepada peningkatan ketersambungan fizikal dan digital serta akses kepada perkhidmatan asas, selain usaha meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan perusahaan luar bandar.
“Langkah itu dijangka membantu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan meningkatkan pendapatan isi rumah, sekali gus mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan berpenduduk padat dengan komuniti luar bandar,” menurut laporan.
Pada masa sama, pembangunan bandar secara mampan akan memberi tumpuan kepada kebolehcapaian pengangkutan awam, kemampuan memiliki dan menyewa rumah serta peningkatan daya huni bandar bagi menyokong kualiti hidup isi rumah.
Agenda pembangunan turut mengambil kira penyertaan kumpulan yang kurang mendapat akses kepada peluang ekonomi menerusi program berasaskan komuniti, termasuk usaha meningkatkan pemilikan ekonomi Bumiputera serta memperluas peluang kepada belia, wanita, masyarakat peribumi, koperasi dan sektor ekonomi sosial.
Kerajaan juga akan memberi penekanan kepada infrastruktur dengan reka bentuk sejagat serta akses lebih luas kepada peluang pekerjaan bagi menggalakkan penyertaan golongan orang kurang upaya (OKU) dalam aktiviti ekonomi.
Dalam aspek perlindungan sosial, Belanjawan 2027 akan meneruskan bantuan tunai dan subsidi bersasar termasuk Budi Madani bagi membantu isi rumah menangani tekanan kos sara hidup.
Pada masa sama, mekanisme mengenal pasti penerima yang layak bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta skim bantuan kebajikan akan ditambah baik bagi mengurangkan risiko penerima yang layak tercicir atau bantuan disalurkan kepada mereka yang tidak sepatutnya menerima.
Perlindungan sosial juga akan diperluas daripada bantuan jangka pendek kepada usaha memastikan kecukupan pendapatan dan simpanan dalam jangka panjang.
Sehubungan itu, rangka kerja persaraan dan perlindungan keselamatan sosial di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan dinilai semula, termasuk usaha memperluas liputan kepada pekerja tidak formal, golongan bekerja sendiri dan pekerja gig.
Pendekatan itu turut mengambil kira perubahan struktur demografi Malaysia yang semakin menua, dengan pembangunan ekonomi penjagaan dan penjagaan jangka panjang berasaskan komuniti diberi keutamaan. – UTUSAN











