PENGURUSAN risiko fiskal yang berkesan penting dalam usaha memperkukuh daya tahan dan kemampanan fiskal bagi memastikan kesiapsiagaan Kerajaan untuk bertindak balas terhadap ketidaktentuan ekonomi dan kewangan yang berpotensi meningkatkan komitmen fiskal.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2027,walaupun inisiatif pembaharuan yang sedang dilaksanakan memberikan kesan ketara kepada trajektori konsolidasi fiskal, faktor risiko lain seperti persekitaran makro fiskal, ketidatentuan pasaran kewangan dan pendedahan liabiliti luar jangka perlu sentiasa dinilai dan diurus secara berhemat.
“Pelaporan risiko fiskal merupakan sebahagian usaha penting kerajaan untuk memperkemas amalan pengurusan risiko dan menyokong kemampanan kedudukan kewangan awam.
“Sehubungan dengan itu, penerbitan Penyata Risiko Fiskal diperlukan bagi menambah baik rangka kerja pengurusan risiko fiskal di Malaysia,” katanya.
Menurut laporan, Penyata Risiko Fiskal merupakan dokumen awam bersepadu yang mengenal pasti, menyediakan penilaian secara kuantitatif jika bersesuaian serta menjelaskan risiko yang boleh menjejaskan pencapaian sasaran fiskal berbanding unjuran asas dan unjuran jangka masa sederhana.
Jelasnya, penyata ini juga menyediakan maklumat penilaian secara menyeluruh mengenai pelbagai sumber risiko fiskal termasuk kejutan makroekonomi, liabiliti luar jangka dan pendedahan struktural.
“Selain itu, Penyata Risiko Fiskal menyediakan perspektif menyeluruh tentang risiko yang telah berlaku serta langkah-langkah dan penyusunan semula tadbir urus institusi bagi memantau, mengurus dan mengurangkan risiko.
“Penyatuan penilaian di bawah rangka kerja analitik dapat menyokong proses membuat keputusan termaklum, mengukuhkan kemampanan fiskal dan meningkatkan keyakinan terhadap keupayaan Kerajaan menguruskan risiko fiskal dalam jangka masa sederhana,” ujarnya.
Bank Dunia menyatakan bahawa pelaporan risiko fiskal memainkan peranan penting dalam ketelusan fiskal dan pengurusan risiko menyeluruh, sekali gus membantu kerajaan mengenal pasti, menilai dan memberikan maklumat mengenai kemungkinan penyimpangan sasaran belanjawan.
Pelaporan risiko tersebut bukan sahaja mengukuhkan akauntabiliti awam malah meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan jika berlaku implikasi kewangan.
“Sebagai pelengkap kepada piawaian antarabangsa tersebut, penerbitan penyata risiko fiskal yang telah diinstitusikan di beberapa negara boleh menjadi sumber rujukan kepada Malaysia.
“Pelaporan penyata risiko fiskal negara tersebut didapati tidak hanya terhad kepada satu kaedah sahaja tetapi mempunyai pelbagai kaedah pelaporan seperti penyata statutori dalam dokumen belanjawan dan penerbitan secara tunggal mengandungi analisis kebarangkalian yang diterbitkan oleh institusi fiskal bebas.
“Hasil penelitian ke atas lima negara yang dipilih mewakili ekonomi maju dan negara serantau menunjukkan tahap kematangan dan penzahiran maklumat yang berbeza,” katanya.
Sehubungan itu, langkah menanda aras amalan terbaik antarabangsa menyediakan panduan kepada Malaysia untuk merangka penyata risiko fiskal bersesuaian, sekali gus membolehkan kaedah yang relevan diguna pakai secara berperingkat selaras dengan tahap keupayaan analitikal dan kesediaan institusi.-UTUSAN











