ALOR SETAR: Pemilihan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sik yang sebelum ini dimenangi Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim dengan majoriti satu undi, bakal diadakan semula tidak lama lagi.
Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ariffin Man berkata, surat diterimanya daripada Ibu Pejabat UMNO kelmarin memaklumkan bahawa pemilihan bagi jawatan tersebut perlu diadakan semula, namun tidak melibatkan jawatan lain.
“Surat itu dihantar kepada Setiausaha UMNO Bahagian Sik dan salinannya turut diterima Badan Perhubungan UMNO negeri. Dalam surat itu ada dinyatakan alasan mengapa pemilihan untuk jawatan tersebut perlu diadakan semula dan pihak kami sedang menelitinya.
“Surat itu turut menyatakan bahawa keputusan telah dibuat agar pemilihan bagi jawatan tersebut dilaksanakan semula dan mereka serahkan kepada badan perhubungan negeri untuk tentukan tarikhnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pemilihan berlangsung pada 18 Mac lalu, Muhamad Khizri yang juga Ketua Penerangan UMNO bahagian itu pada penggal lalu meraih 229 undi menewaskan penyandang, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah yang memperolehi 228 undi.
Dalam pertembungan empat penjuru itu, Muhamad Khizri turut menewaskan dua calon lain iaitu bekas Ahli Parlimen Sik, Dr. Mansor Abdul Rahman (enam undi) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid (43 undi).
Mengulas lanjut Ariffin berkata, beliau belum dapat menjangkakan bila pemilihan semula bagi jawatan itu akan dilangsungkan kerana perkara tersebut perlu dibincangkan dengan pihak terlibat.
“Bila tarikhnya belum tahu lagi kerana kita kena bincang juga dengan jawatankuasa pemilihan. Tak boleh terburu-buru kerana kita ada jawatankuasa yang terlibat,” katanya. – UTUSAN










