Pejuang tiada prinsip, terdesak sertai PN - Faiz Na’aman

Pejuang tiada prinsip, terdesak sertai PN – Faiz Na’aman

PEJUANG diyakini mampu menguatkan lagi Perikatan Nasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyertai gabungan politik Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tindakan yang terdesak dan oportunis.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, beliau secara peribadi membantah permohonan parti itu.

“Ia tindakan yang terdesak, oportunis dan tiada prinsip pihak yang kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu. Secara peribadi saya membantah permohonan Pejuang menyertai PN,” katanya menerusi hantaran ringkas di Facebook hari ini.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini dilaporkan mahu menjadi salah satu komponen dalam PN yang bertujuan memastikan tiada perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya.

Katanya, beliau sudah menghantar surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memohon supaya Pejuang diterima sebagai salah satu parti komponennya.

Kata beliau, lebih menguntungkan sekiranya menyertai dan menggunakan lambang PN berbanding memeterai kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya yang hanya disebabkan ingin mengelak dari pertindihan kerusi.

Semasa Perhimpunan Agung Pejuang pada Januari lalu, parti itu menyenaraikan beberapa pilihan setelah mengambil keputusan keluar daripada gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang diasaskan bekas Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pilihan tersebut antaranya membentuk kerjasama dan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) atau PN.

Pilihan yang lain adalah kekal berada di dalam GTA, bagaimanapun, pilihan itu mendapat tentangan daripada para perwakilan negeri yang tidak lagi mahu berada di dalam gabungan itu.

Pilihan seterusnya adalah Pejuang bertanding secara solo atau tidak bertanding langsung dalam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tahun ini.

GTA adalah gabungan politik yang masih belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), dianggotai empat parti komponen utama iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

Namun, hari ini dilaporkan parti Berjasa turut memohon menyertai PN sekaligus menyaksikan GTA mungkin hanya dianggotai dua parti iaitu Putra dan IMAN.

Tun Mahathir telah disahkan menyertai Putra semasa sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kad Keahlian dan Watikah Penasihat Putra di Putrajaya, semalam.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu, GTA bertanding menggunakan logo Pejuang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen meskipun meletakkan calon di 125 daripada 222 kerusi. 58 kerusi ditandingi Pejuang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN