Pegawai Imigresen dakwa cedera dipukul semasa ujian kecergasan - Utusan Malaysia

Pegawai Imigresen dakwa cedera dipukul semasa ujian kecergasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pegawai Jabatan Imigresen mendakwa cedera dipukul pegawai kanan jabatan itu ketika ujian kecergasan Pasukan Taktikal Khas Imigresen (Pastak) di Depoh Imigresen Sementara di Bidor.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 25 tahun cedera di bahagian hidung, sebatang gigi hadapan patah dan luka pada gusi serta bibir.

Katanya, kejadian itu berlaku pada pukul 9.30 pagi, Khamis lalu.

“Siasatan kes sedang dijalankan susulan laporan polis dibuat mangsa pada pukul 2 pagi kelmarin. Berdasarkan siasatan, kejadian itu berlaku pada hari terakhir ujian kecergasan Pastak.

“Mangsa mendakwa dia dan dua pelatih lain telah diarahkan oleh suspek untuk melakukan hukuman tekan tubi sebanyak 20 kali.

“Semasa sedang melakukan hukuman itu, suspek telah memijak belakang leher mangsa menyebabkan lelaki itu tersungkur sehingga mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, mangsa yang cedera telah mendapatkan rawatan kecemasan di sebuah hospital di Shah Alam, Selangor.

Katanya, susulan laporan polis dibuat lelaki itu, pihaknya telah memanggil suspek dan semua saksi terlibat dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyan 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya