PETALING JAYA: Seorang wanita warga China yang ditahan berhubung kes mencederakan pegawai kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang, esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA, Superintenden Albany Hamzah berkata, lima keterangan individu telah direkodkan membabitkan kes ini.
“Keterangan ini termasuklah mangsa (pegawai kaunter). Wanita China ini akan dituduh esok (Isnin) di mahkamah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca wanita China serta tiga lagi individu yang dikesan tidak mempunyai rekod kemasukan.
Ditanya sama ada kesemua mereka masuk melalui saluran tidak sah, katanya, siasatan lanjut masih dijalankan.
Media sebelum ini melaporkan tindakan biadab seorang wanita China berusia 31 tahun yang bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen semasa pemeriksaan pelepasan di KLIA Terminal 1 pada Rabu lalu.
AKPS dilaporkan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.40 petang apabila empat warga China terdiri daripada dua dewasa dan dua kanak-kanak hadir untuk pemeriksaan pelepasan imigresen.
Pegawai kaunter mendapati kesemua mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk dan telah merujuk kepada Penyelia Pasukan untuk semakan lanjut.
Bagaimanapun, wanita dewasa tersebut tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.
Suspek kemudiannya memaki-hamun pegawai dengan perkataan kesat sebelum menarik tudung pegawai dan menolak kepalanya dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter.
Akibat serangan itu, pegawai mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit kepala dan lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan dan laporan perubatan.
Susulan itu, suspek telah direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam), Seksyen 332 Kanun Keseksaan (mencederakan penjawat awam) dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam).- UTUSAN










