PBM tidak bertanding enam pilihan raya negeri

PBM tidak bertanding enam pilihan raya negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) tidak akan bertanding di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Semenanjung Malaysia yang dijangka berlangsung pada tahun ini.

Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia malam ini.

“PBM tidak bertanding. Perkara ini akan dikeluarkan dalam masa beberapa hari lagi,” katanya.

Beliau sebelum itu berkongsi kenyataan daripada Jabatan Penerangan PBM Selangor bahawa parti itu sebulat suara tidak akan bertanding dalam PRN Selangor sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubar tahun ini.

Katanya, parti itu membuat keputusan berkenaan setelah mengadakan mesyuarat khas pada 17 Mac 2023 bersama Wei Shien.

Justeru, katanya, PBM memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor, dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mendepani pilihan raya negeri nanti.

“Kami percaya bahawa Kerajaan Madani adalah platform politik terbaik untuk membawa kestabilan politik yang penting dalam proses membaikpulihkan ekonomi negara.

“Sejak penubuhan Kerajaan Madani, kerajaan telah membuat kemajuan yang ketara dalam mempromosi perdamaian dan kemakmuran, dan kami dalam PBM ingin memastikan momentum positif ini tidak terganggu,” kata kenyataan itu malam ini.

 

LARRY SNG WEI SHIEN

Termasuk Selangor, lima negeri dijangka mengadakan pilihan raya iaitu Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.

Februari lalu, Amirudin dilaporkan berkata, enam negeri berkenaan sepakat membubarkan DUN pada dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, PBM mahu mengekalkan dua kerusi DUN Selangor yang dimiliki ketika parti itu berhasrat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam enam pilihan raya negeri nanti.

Wei Shien ketika itu berharap, PH memberi ruang bertanding di DUN Lembah Jaya dan Sementa bagi mengelakkan calon-calon pilihan raya bertembung sekaligus merugikan kedua-dua pihak.

PBM ketika ini mempunyai dua kerusi DUN di Selangor iaitu Lembah Jaya (Haniza Mohamed Talha) dan Sementa (Dr. Daroyah Alwi).

Dalam pada itu, PBM Selangor turut mengecam sekeras- kerasnya tindakan sesetengah pihak dari pembangkang yang terus memainkan api perkauman demi kepentingan politik, tanpa mengira kos sosioekonomi jangka masa panjang.

“Sebagai parti politik yang berpegang pada prinsip ’Bangsa Malaysia’, kami menolak kebencian dan diskriminasi yang bertentangan dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

“Justeru, demi mempertahan prinsip dan idealisme Bangsa Malaysia, PBM Selangor akan mengerahkan segala jentera kami secara sukarela untuk membantu Kerajaan Madani mempertahankan semua kerusi di Selangor,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.