Pasangan suami isteri edar dadah ditahan polis - Utusan Malaysia

Pasangan suami isteri edar dadah ditahan polis

SOFFIAN Santong (dua dari kanan) menunjukkan hasil rampasan dadah daripada sindiket didalangi sepasang suami isteri dalam sidang akhbar di IPD Timur Laut, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kegiatan sepasang suami isteri yang aktif mengedar dadah jenis syabu dan pelbagai jenis dadah lain sejak tahun lalu tumpas selepas kedua-duanya ditahan polis di kawasan Gelugor di sini, Ahad lalu.

Susulan penahanan suami isteri berusia 42 dan 46 tahun itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM282,464.

Pada peringkat awal, kegiatan mengedar dadah itu hanya dilakukan oleh si suami, namun selepas dia menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, penyakit jantung dan buah pinggang, isterinya pula mengambil alih kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pasangan tersebut ditahan di tepi jalan di Gelugor pukul 12 tengah hari yang mana polis merampas satu peket plastik dadah syabu seberat 310 gram bernilai RM31,000 daripada suspek wanita.

”Hasil soal siasat dan dipandu arah oleh suspek, polis menyerbu sebuah kondominium di Gelugor dan menjumpai sejumlah dadah yang disimpan di situ,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, di sini hari ini.

Menurutnya, pasangan berkenaan mempunyai rumah sendiri di Batu Uban dekat sini, dan mereka didapati menyewa kondominium tersebut dengan harga RM1,300 sebulan untuk dijadikan tempat penyimpanan serta pembungkusan semula dadah-dadah berkenaan sebelum dijual.

”Di kondominium ini, polis menjumpai tujuh peket plastik setiap satu berisi dadah syabu seberat 6,48 kilogram (kg) bernilai RM233,604.

”Polis turut menjumpai sembilan ketulan mampat daun-daun kering ganja setiap satu dibalut dengan plastik lutsinar seberat 6,28 kg, lima peket plastik lutsinar setiap satu berisi daun-daun kering ganja seberat 856 gram dengan nilai keseluruhan RM17,860,” katanya.

Tambahnya, pasangan suami isteri itu tidak mempunyai anak dan mereka mengedar dadah kepada pembeli di sekitar negeri ini menggunakan motosikal.

Dalam pada itu, katanya, hasil saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah dan turut mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah.

Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah seksyen 39 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek ditahan reman bermula 6 hingga 12 Mac ini.

”Tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (perlucuthakan harta) 1988 yang mana barang kemas yang dianggarkan bernilai RM12,800 dan kenderaaan yang dianggarkan bernilai RM11,000 telah disita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya