Pas, Bersatu tanding 15 kerusi DUN Melayu di Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Pas, Bersatu tanding 15 kerusi DUN Melayu di Pulau Pinang

MUHAMMAD FAUZI Yusof (duduk, dua dari kiri) dalam sidang akhbar sempena program Gelombang Hijau Pulau Pinang di Markas Pas Pongsu Seribu, Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pulau Pinang mencapai kata sepakat untuk bertanding di 15 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundinya Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) itu kelak.

Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusof berkata, pada masa sama, perbincangan masih dibuat bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Gerakan untuk kerusi campuran atau strategik di negeri itu.

Katanya, ini kerana selain Gerakan, Pas juga memiliki wakil daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang terdiri daripada calon bukan Melayu.

“Kami akan bincang mana yang sesuai untuk 25 lagi baki kerusi DUN yang akan kita tandingi di Pulau Pinang. Tang (di) mana kita nak letak DHPP, begitu juga Gerakan. Bersatu juga tentu ada cadangan (untuk letakkan calon).

“Dalam hal ini, banyak perkara yang sudah (kita) bincang. Ada panduan untuk capai titik pertemuan antara tiga-tiga parti ini (Pas, Bersatu dan Gerakan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena program Gelombang Hijau Pulau Pinang di Markas Pas Pongsu Seribu di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, ketika ini, Pas khususnya telah memiliki senarai calon mereka sendiri termasuk daripada kalangan muslimat serta DHPP.

“Setiap kawasan perlu menghantar senarai nama sekurang-kurangnya tiga calon untuk diputuskan oleh Majlis Syura Ulama sebelum diberikan watikah untuk bertanding.

“Dalam hal ini, kita ambil kira ‘winnable candidate’ (calon boleh menang) sahaja dan tak kira ‘percent-percent’ (peratus pembahagian kerusi) dah,” katanya yang tidak menolak untuk bertanding andai diputuskan oleh kepimpinan Pas Pusat.

Jelas beliau, ketika ini juga, kepimpinan PN di peringkat negeri khususnya telah mengenal pasti dan sedang mengatur langkah strategik untuk menguasai DUN yang menjadi sasaran dalam perbincangan itu.

“Ada penyandang (untuk kerusi DUN), itu perkara yang sudah diketahui. Ada juga perkara berkaitan strategik dan kewibawaan.

“Kita bincang daripada pelbagai sudut (calon yang akan bertanding pada PRN). Penyandang mungkin kekal kalau tak ada apa,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN