KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyindir Kerajaan Perpaduan dengan mendakwa Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menentang rasuah tetapi kini sudah berjinak-jinak dengan jenayah itu.
Dalam perbahasannya di Dewan Rakyat, Shahidan juga membangkitkan persoalan mengenai pelantikan beberapa pemimpin dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Pada 14 December 2022, Jemaah Menteri kerajaan PH-BN memutuskan bahawa pengerusi dan ahli lembaga pelantikan politik ditamatkan perkhidmatan mereka.
“Pada 10 March 2023, bekas Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi dilantik sebagai Pengerusi Mara yang baharu. Asyraf Wajdi kawan baik saya, saya memang menyokong pelantikannya. Tetapi masalahnya PH kena isytiharkan kepentingan mereka bahawa pelantikan politik sekarang ini boleh buat pula.
“Dulu mereka kata tidak mahu pelantikan politik tetapi sekarang sudah mahu pula. Jadi saya minta diubah. Berubahlah. Kami terimalah sebab kerajaan selalu berubah-ubah diri mereka. Dulu menentang rasuah, sekarang nampak macam berjinak-jinak pula,” katanya.
Tambah Shahidan, kerajaan yang diterajui PH perlu mengubah pendirian dan akui pelantikan politik boleh dibuat dari kalangan pemimpinnya.
“Saya cuma minta kerajaan PH yang disokong oleh Barisan Nasional (BN) dan juga UMNO ini supaya ubah pendirian mereka bahawa pelantikan politik boleh dibuat dan lantik dalam kalangan Backbenchers ini yang tiada jawatan seperti Rara (Ahli Parlimen Bentong) semua ini lantiklah sebagai pengerusi,” jelasnya.
Katanya, penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menunjukkan PH memecah belahkan rakyat.
“Dulu kementerian lantik MPKK tetapi sekarang kata akan lantik JPKK. Sendiri cakap tidak akan memilih parti, tidak akan mengira negeri, tapi JPKKP tiba-tiba pilih negeri pula. Elok tak elok, ini duit rakyat. Mereka dibayar elaun duit rakyat. Masa kita kutip cukai duit rakyat , cukai ini kami nak bayar, tapi cukai rakyat kepada negeri yang tadbirkan.
“Sekarang negeri yang ditadbirkan oleh Perikatan Nasional (PN), kami akan teruskan JKK, rakyat perlu kami, jadi kami memerintah dengan amanah. Kami akan terus buat JPKK dan saya beritahu akan ada dua jawatankuasa iaitu satu JPKK dan satu JPKKP.
“Ini bererti Kerajaan Perpaduan hancur sekarang. Bukan perpaduan satu kampung dua committee. Rasah, dua jawatankuasa tadbir satu kampung. Macam mana kita nak buat? Ertinya menggalakkan perpecahan rakyat. Minta komunikasi beritahu Kabinet jangan buat dua jawatankuasa di kampung, perpecahan,” ujarnya. – UTUSAN










