Parlimen: Kadar bayaran haji bersasar berdasar tahap kewangan individu, bukan isi rumah  - Utusan Malaysia

Parlimen: Kadar bayaran haji bersasar berdasar tahap kewangan individu, bukan isi rumah 

haji
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar bayaran haji yang bersasar mengambil kira tahap kewangan individu bakal haji dan bukan pendapatan isi rumah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Nai’im Mokhtar berkata, pemberian bantuan kewangan secara bersasar dapat membantu Lembaga Tabung Haji (TH) menampung perbelanjaan kos operasi haji keseluruhan.

“Ini bagi memastikan kelestarian kewangannya untuk masa depan. Selain itu, Tabung Haji sentiasa menjelaskan konsep istita’ah, salah satu syarat wajib haji iaitu mampu mengerjakan haji dari segi kewangan, kesihatan, keselamatan dan kebenaran pihak berkuasa.

“Jadi, adalah tanggungjawab jemaah haji sepenuhnya untuk membayar perbelanjaan,” katanya semasa Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) meminta supaya kerajaan menyatakan asas pertimbangan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20.

Sebelum ini, Tabung Haji meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar, walaupun kos ibadat itu naik kepada RM30,850, berbanding RM28,632 tahun lalu.

Mengulas lanjut, kata Mohd. Nai’im, Tabung Haji menjangkakan jumlah bantuan kewangan haji akan meningkat kepada hampir RM500 juta pada 2024 jika bayaran bagi tujuan ibadat itu tidak disemak.

Ini sekali gus akan memberi kesan kepada Tabung Haji dalam aspek agihan keuntungan berpatutan kepada pendepositnya.

“Pada masa sama, Tabung Haji juga akan mengambil kira cadangan mewujudkan tabung wakaf haji dengan melakukan kajian mengenainya terlebih dulu bagi memberi bantuan kewangan kepada bakal jemaah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya