Abai budaya selenggara undang malapetaka kepada sistem rel

Abai budaya selenggara undang malapetaka kepada sistem rel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA bersyukur kerana tragedi sistem transit aliran ringan (LRT) yang tergelincir berhampiran stesen Chan Sow Lin tidak menyebabkan kecederaan apatah lagi kehilangan nyawa. Perlu diingat pengangkutan rel membabitkan ramai penumpang dalam satu-satu perjalanan.

Jika kita lihat di luar negara, apabila berlaku kemala­ngan membabitkan kereta api dan sebagainya jumlah mangsa sangat tinggi.

Sebab itu di negara-negara barat dan Jepun mereka amat mengutamakan budaya penyelenggaraan ke atas sistem rel kerana kecacatan yang sedikit pada sistem boleh mengancam nyawa penumpang.

Cuba tengok sistem kereta api bawah tanah di New York yang dikenali sebagai Subway. Ia mula beroperasi sejak 1900-an. Gerabak-gerabaknya semua kelihatan lama tetapi tetap beroperasi dengan efisien dan jarang kita dengar ia mengalami gangguan kerana budaya selenggara yang tinggi.

Begitu juga dengan Tube di London dan sistem rel di Jepun yang menggunakan teknologi terkini. Selepas siap dibina, disiplin penyelenggaraan mereka sangat ketat ke­rana nyawa penumpang menjadi taruhan.

Oleh itu, penyedia perkhidmatan rel di negara ini perlu ingat, budaya penyelenggaraan sangat penting kerana ke­seluruhan operasi sistem rel bergantung kepada ketepatan, kestabilan dan keselamatan infrastruktur yang digunakan setiap hari.

Kegagalan kecil pada landasan, sistem isyarat atau tren boleh bertukar menjadi malapetaka besar kerana pengangkutan rel melibatkan kelajuan tinggi, beban berat dan jumlah penumpang yang ramai.

Antara sebab utama penyelenggaraan sistem rel amat kritikal adalah bagi mengelakkan kegagalan struktur landasan. Jika tidak dikesan awal, ia boleh menyebabkan tren tergelincir. Banyak tragedi rel di dunia berlaku kerana isu-isu kecil yang diabaikan.

Disiplin tinggi dalam penyelenggaraan juga boleh me­ngurangkan risiko kegagalan mekanikal tren. Semuanya perlu diperiksa secara berkala. Kegagalan mekanikal pada tren berkelajuan tinggi misalnya boleh mengakibatkan kemalangan besar dan mengorbankan nyawa.

Pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap sistem rel negara perlu tanam dalam kepala mereka bahawa kos pencegahan jauh lebih murah daripada tragedi. Penyelenggaraan berkala mungkin mahal terutama ketika negara berhadapan dengan krisis ekonomi global sekarang.

Tetapi andainya berlaku malapetaka, kosnya sudah tentu harga yang kita perlu bayar jauh lebih tinggi melibatkan kehilangan nyawa, kerosakan aset, pampasan, gangguan ekonomi dan hilang keyakinan rakyat.

Sebab itu negara-negara barat dan Jepun cukup ter­kenal dengan disiplin penyelenggaraan sistem rel yang sa­ngat ketat . Pengangkutan rel dilihat sebagai infrastruktur strategik negara. Bukannya sekadar perkhidmatan awam biasa.

Contohilah budaya zero defect di Jepun dalam operasi sistem kereta api laju seperti Shinkansen. Walaupun laju, tetapi ia dianggap antara paling selamat di dunia.

Di negara seperti Jerman, Perancis dan United Kingdom, penyelenggaraan rel dikawal oleh standard keselamatan yang sangat ketat. Sebarang kegagalan dalam mematuhi standard boleh membawa kepada tindakan undang-undang.

Kenapa mereka begitu tegas? Kerana pengabaian dalam penyelenggaraan boleh mengundang malapetaka yang sangat serius. Jangan apabila sudah terhantuk baru kita hendak tengadah. Jangan sampai nasi menjadi bubur.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia