Mercedes ‘panas’ perang Russell-Antonelli

Mercedes ‘panas’ perang Russell-Antonelli

George Russell (kiri) dan Kimi Antonelli meminta kebebasan untuk bersaing walaupun Mercedes menyedari risiko dalam situasi tertentu ia boleh menyebabkan kemalangan sesama sendiri. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MONTREAL: Kehangatan perebutan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) musim ini semakin terasa apabila George Russell dan rakan sepasukan Kimi Antonelli mula mencetuskan ‘perang dalaman’ dalam kem Mercedes di Grand Prix (GP) Kanada, Isnin lalu.

Dua pelumba Mercedes itu beberapa kali bertarung secara agresif sepanjang perlumbaan pecut dan perlumbaan utama sehingga memaksa pasukan mengadakan mesyuarat khas bersama bos pasukan, Toto Wolff.

Situasi semakin tegang selepas Antonelli menghamburkan beberapa mesej radio beremosi ketika berlumba roda ke roda dengan Russell dalam aksi pecut di Montreal.

Bagaimanapun, timbalan prinsipal Mercedes, Bradley Lord mendedahkan kedua-dua pelumba mereka sebenarnya meminta kebebasan untuk terus berlumba sesama sendiri tanpa terlalu banyak campur tangan daripada pasukan.

“Mereka beritahu kami, percayalah kepada mereka untuk berlumba kerana itu sebab mereka diupah oleh Mercedes dan mereka yakin mampu melakukannya secara profesional.

“Kimi sendiri menganggap pertemuan itu seperti dipanggil masuk ke pejabat pengetua sekolah tetapi perbincangan berlangsung dengan sangat baik,” kata Lord.

Russell dan Antonelli sekali lagi bertarung sengit dalam perlumbaan utama apabila saling memintas bagi perebutan kedudukan pendahulu sebelum aksi tersebut berakhir selepas Russell mengalami masalah unit kuasa.

Pengarah kejuruteraan Mercedes, Andrew Shovlin mengakui terdapat beberapa detik mencemaskan yang hampir menyebabkan kedua-dua jentera pasukan itu bertembung sesama sendiri.

“Kami mahu beri mereka kebebasan untuk berlumba tetapi ada beberapa situasi yang terlalu hampir dan boleh menyebabkan salah seorang melanggar belakang jentera pasukan sendiri.

“Mereka mahu dibenarkan berlumba tetapi pada masa sama mereka juga faham perlu berlumba secara adil dan tidak menyebabkan kedua-dua kereta gagal menamatkan perlumbaan,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN