Bincang 40 peratus hasil negeri Sabah di Dewan Rakyat

(PARLIMEN) Bincang 40 peratus hasil negeri Sabah di Dewan Rakyat kurang wajar

ARMIZAN Mohd. Ali (tengah) semasa lawatan ke loji rawatan air Kogopon, Papar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu 40 peratus hasil negeri Sabah yang dikutip kerajaan Persekutuan selaras Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan kurang wajar dibincang atau dibahas dalam persidangan Dewan Rakyat, ketika ini.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu kutipan hasil negeri Sabah sebanyak 40 peratus itu kini melibatkan isu perundangan yang telah dirujuk kepada mahkamah untuk diputuskan. 

Ini kerana, katanya, membincangkan lebih lanjut dikhuatiri disifatkan sebagai subjudis kepada prosiding mahkamah. 

“Oleh itu, pada masa ini, kerajaan tidak dapat memberi sebarang pandangan berhubung perkara itu dan meminta kesemua pihak supaya menghormati prosiding perundangan yang sedang berlangsung,” katanya kepada Utusan Malaysia di Parlimen hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas selesai menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi jabatan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam penggulungannya pula, Armizan sebaliknya berkata, kerajaan telah menaikkan amaun pemberian khas Sabah mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bertarikh 20 April 2022.

Ia menyaksikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah mencapai persetujuan peningkatan amaun (geran tahunan) untuk tempoh 5 tahun iaitu RM125.6 juta (2022); RM129.7 juta (2023); RM133.8 juta (2024); RM138.1 juta (2025) dan RM142.6 juta (2026).

“Perkara ini sedang dimuktamadkan di mana Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah sedang berunding untuk memuktamadkan formula (tetap) dan indikator yang diguna untuk menentukan kadar peningkatan terbabit.

“Sudah ada persetujuan secara prinsip bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk meningkatkan pemberian khas itu melalui semakan dan ia sedang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan (MoF) bersama kerajaan Sarawak dan Sabah,” katanya. 

Beliau berkata demikian menjawab pertikaian yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis; Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Gapari Kitingan dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim. 

Kesemua mereka membangkitkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengenai 40 hasil negeri yang dikutip kerajaan Persekutuan dari Sabah yang perlu diserah sepenuhnya kepada negeri itu. 

Pada Jun tahun lalu, Pakatan Harapan (PH) Sabah memulakan tindakan undang-undang dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri Sabah sebagai defendan kedua berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri.

Di awal pembentukan Malaysia, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama subseksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Ke-10, Perlembagaan memperuntukkan, Sabah berhak menerima pemberian khas dengan dua perlima atau 40 peratus daripada hasil negeri yang dikutip Kerajaan Persekutuan setiap tahun. 

Bagaimanapun, Sabah tidaklah mendapatkan kadar tetap 40 peratus namun, namun diganti dengan pemberian khas melalui geran tahun seperti yang berkuatkuasa kini. 

Untuk rekod, kajian semula pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pertama telah dilaksana pada tahun 1969, yang membawa kepada pewartaan Perintah (Ulangkaji Pertama) Pemberian-Pemberian Khas Sarawak, 1969 [P.U.(A) 403/1969] dan Perintah Pemberian Khas Sabah (Ulangkaji Pertama) 1970 [P.U.(A)328/1970]. 

Pewartaan tersebut telah memperuntukkan kadar pemberian khas melalui geran tahunan sebanyak RM16 juta setahun kepada Sarawak, dan RM26.7 juta setahun kepada Sabah yang berkuatkuasa sehingga 2022. 

Ini kerana, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri sebelum ini telah menaikkan amaun pemberian khas menerusi geran tahunan sebanyak 4.7 kali ganda atau RM125.6 juta (2022) berbanding RM26.7 juta sejak 1973 (ulangkaji pertama).

Ini berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. 

Bagaimanapun, pembangkang ketika itu berpendapat, pemberian khas tersebut tidak berdasarkan formula 40 peratus dan nilai sebenar adalah jauh lebih besar jika Kerajaan Persekutuan dan negeri bersetuju mengikuti formula berkenaan.

Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula ketika mempengerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkata, kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan kadar pemberian khas Sabah baharu (geran tahunan) kepada RM300 juta, mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. -utusan

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.