BATU PAHAT: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.66 juta untuk membina Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan, di sini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan fasiliti bina baharu pertama yang berjaya disiapkan di negara ini dan ia akan membantu kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan serta melindungi kebajikan rakyat.
Beliau berkata, Batu Pahat dipilih sebagai lokasi projek rintis berikutan daerah itu dikenal pasti sebagai antara kawasan berisiko tinggi, termasuk merekodkan 17 kali kejadian banjir sejak 2022 hingga melibatkan 36,000 mangsa.
“Pembangunan PPKB merupakan anjakan dalam pengurusan bencana negara bagi memastikan sesi persekolahan tidak terganggu apabila dewan atau bilik darjah digunakan sebagai pusat pemindahan.
“Saya takkan nak menyusahkan guru besar atau pelajar atau guru di sekolah ini untuk menggunakan dewan yang kecil ataupun bilik darjah untuk menempatkan mangsa banjir,” katanya.
PPKB itu mampu menampung seramai 500 mangsa pada satu-satu masa dan ia dilengkapi dewan terbuka, dua gelanggang futsal, ruang memasak, tandas, surau, bilik rawatan serta blok penginapan khas.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, komuniti setempat perlu kreatif dalam memanfaatkan fasiliti serbaguna tersebut untuk aktiviti luar musim banjir.
“Ini termasuk boleh menjadikannya sebagai gelanggang sukan pickleball buat golongan muda dengan syarat aspek penjagaan premis sentiasa diutamakan,” katanya. – UTUSAN







