Malaysia tundukkan Indonesia, muncul juara kumpulan

Malaysia tundukkan Indonesia, muncul juara kumpulan

Genevie Lim-Low Zi Yu yang tidak berdepan masalah mengetepikan Selsi Josika-Aurelia Syakira Putri 22-15. - IHSAN BAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad remaja negara membenam cabaran Indonesia 2-1 untuk muncul juara Kumpulan D pada Kejohanan Badminton Remaja Berpasukan Campuran Asia di Yatsushiro, Jepun, hari ini.

Malaysia telahpun mara ke suku akhir lebih awal selepas menewaskan Korea Selatan 2-0, semalam.

Pertembungan dengan pasukan dari negara tetangga itu adalah untuk menentukan kedudukan sebagai juara dan naib juara kumpulan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pasukan muda negara membuka aksi dengan permainan cemerlang apabila mendahului Indonesia 1-0.

Beregu lelaki, Damien Ling-Irfan M Shazmir yang terlebih dahulu turun ke gelanggang diberi tentangan sengit sebelum beroleh kemenangan tipis ke atas Muhammad Rizki Mubarrok-Raihan Daffa Edsel Pramono 11-10.

Rentak kemenangan itu diteruskan beregu perempuan, Genevie Lim-Low Zi Yu yang tidak berdepan masalah mengetepikan Selsi Josika-Aurelia Syakira Putri 22-15.

Perseorangan perempuan, Carine Tee turut mengukir kejayaan ke atas Mayla Cahya Alfian Pratiwi 33-27, manakala, dalam aksi beregu campuran, Ahmad Redzuan-Zi Yu mengalahkan Raihan Daffa-Atresia Naufa Candani 44-36.

Perseorangan lelaki, Kong Wei Xiang menutup aksi set pertama dengan kemenangan ke atas Radithya Bayu Wardhana 55-51.

Namun begitu, dalam set kedua, Indonesia berjaya bangkit untuk mengikat Malaysia 1-1 dan sekali gus, mengheret pertemuan itu ke set penentuan.

Skuad negara pada awalnya bermula baik apabila beregu lelaki, Isyraf Hafizin-Ahmad Redzuan menumpaskan Muhammad Rizki-Raihan 11-9 dan Genevie-Zi Yu terus meletakkan Malaysia di depan setelah mengetepikan Selsi-Aurelia 22-18.

Bagaimanapun, Carine membuka ruang kepada kebangkitan Indonesia apabila dia tewas tipis kepada Mayla 31-33.

Kekalahan itu gagal diubah oleh Ahmad Redzuan-Zi Yu yang akur kepada Raihan-Atresia 42-44, sebelum Wei Xiang turut kecundang di tangan Radithya 49-55.

Malaysia tidak mudah berputus asa, apabila kembali mendapatkan rentak kemenangan menerusi Damien-Irfan yang menyingkirkan Muhammad Rizki-Raihan 11-9.

Genevie-Zi Yu pula menumpaskan Halifia Usni Pratiwi-Aurelia 22-17, manakala, Carine bangkit daripada kekecewaan set kedua untuk mengalahkan Mayla 33-32.

Pasukan negara menutup aksi set penentuan apabila meneruskan rentak kemenangan menerusi Ahmad Redzuan-Zi Yu yang mengalahkan Raihan-Atresia 44-40 dan Wei Xiang membenam Fardhan Rainanda Joe 55-48. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini