SEBUAH robot yang dilengkapi kening ekspresif dan direka untuk melaksanakan tugas asas bagi mengurangkan beban petugas kesihatan sedang menjalani percubaan di sebuah hospital di Milan.
Dinamakan ‘Alter-Ego’, robot setinggi 1.2 meter itu boleh mewakili doktor yang bertugas dari lokasi jauh, menghantar sebotol air kepada pesakit atau membimbing mereka ke lokasi rawatan.

Seorang pesakit di Hospital Maugeri, Daniel Senna, 31, berkongsi pengalamannya memaklumkan tahap kesakitannya melalui skrin yang dipasang pada dada robot berkenaan.
“Hai Dani. Apa khabar? Adakah kamu perlukan apa-apa?” Tanya Alter Ego kepada Senna yang berkerusi roda, sementara data yang dikumpulkan dihantar serta-merta kepada jururawat di wad berkenaan.
Robot itu menjalani ujian sejak April lalu di sebuah jabatan yang merawat pesakit sklerosis lateral amiotrofik (ALS), sejenis penyakit neurodegeneratif yang menjejaskan sistem saraf.
“Pada mulanya, kami bimbang pesakit mungkin memberi reaksi negatif,” kata Pengarah Jabatan Pemulihan Neuromotor Hospital Maugeri, Christian Lunetta kepada AFP.
Namun, katanya, mereka kemudiannya amat berpuas hati kerana robot itu direka untuk mencetuskan rasa ingin tahu dan pergerakan serta fungsinya menunjukkan pelbagai potensi penggunaan.
Projek itu merupakan kerjasama antara Italian Institute of Technology dan University of Pisa, dan ketika ini masih dikendalikan dari jauh oleh seorang pengendali.
Mulai Julai, robot itu dijangka beroperasi secara autonomi.

Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) mempercepatkan kemajuan dalam bidang robotik, namun robot masih memerlukan banyak latihan sebelum mampu berfungsi secara berdikari sepenuhnya.
Menurut Pegawai Institut Teknologi Itali, Manuel Catalano, eksperimen di Milan itu bertujuan membolehkan penyelidik bekerjasama dengan pesakit dan penjaga bagi memahami dengan lebih baik batasan tugas yang boleh atau wajar dilakukan oleh robot di wad hospital.
Beliau berkata, Alter-Ego juga berpotensi membantu pesakit dan penjaga mereka di rumah pada masa hadapan.
Lunetta pula menjelaskan, hospital mempunyai banyak tugas berulang yang boleh diserahkan kepada robot yang berfungsi dengan baik.
“Ini juga membolehkan kita lebih menghargai peranan manusia dengan memberi mereka lebih banyak masa untuk menumpukan perhatian kepada hubungan kemanusiaan yang perlu dikekalkan dengan pesakit,” katanya.
Jururawat bukan sahaja memantau pesakit ketika mengagihkan ubat, malah turut mengesan petunjuk berkaitan keadaan fizikal dan mental mereka.
Walaupun Alter-Ego kelihatan berupaya melakukan banyak perkara, Pakar Neurologi, Rachele Piras berkata, tiada sesiapa yang pernah mempertimbangkan untuk menyerahkan tugas pemberian ubat secara langsung kepada robot itu.
Bagaimanapun, katanya, robot tersebut boleh membantu dalam pelbagai cara lain, khususnya apabila penyakit neurodegeneratif pesakit semakin berkembang.
Pesakit mungkin berasa lebih bebas apabila dapat meminta bantuan terus daripada robot, sementara tugas penjaga turut berkurangan, membolehkan mereka kembali memainkan peranan sebagai teman, ibu atau anak kepada pesakit dan bukan sekadar penjaga sepenuh masa.-UTUSAN









