ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kelulusan untuk melaksanakan kegiatan pengambilan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) walaupun melibatkan perkara yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri (PBN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman menegaskan, ini kerana kawasan yang dikatakan mengandungi mineral tersebut terletak di bawah status hutan simpanan kekal (HSK) yang diwartakan.
Selain itu, beliau berkata, perkara kedua yang menjadi kesalahan membabitkan pengeluaran mineral berkenaan adalah NR-REE tidak ditakrifkan sebagai hasil hutan menurut Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984.
“Maka hanya bersandarkan dua perkara itu, kerajaan negeri atau PBN tidak boleh mengeluarkan apa-apa kelulusan termasuk Lesen Mencari Gali, Lesen Penjelajahan, Pajakan Melombong dan Lesen Melombong Tuan Punya kerana dalam konteks NR-REE di Kedah ia melibatkan Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
“Memanglah berdasarkan Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan bidang kuasa hutan atau tanah berada di bawah negeri tetapi pada masa sama perlu juga melihat peruntukan lain seperti yang terkandung di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
“Kalau kerajaan negeri bagi juga kelulusan apa-apa kerja melibatkan NR-REE di Bukit Enggang bermakna kerajaan negeri melanggar peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Dalam maklum balas Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) kepada Utusan Malaysia, kerajaan Kedah dikatakan tidak melakukan kesalahan dalam memberi kelulusan melaksanakan kegiatan pengambilan NR-REE di Hutan Simpan Bukit Enggang.
Ini kerana aktiviti itu adalah di bawah kuasa PBN melalui Enakmen Mineral Negeri masing-masing untuk memberikan kelulusan untuk aktiviti mencari gali dan penjelajahan.
Tambah Meor Razak, NRECC tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak salah dalam perkara itu kerana ia dibimbangi akan disalah tafsir bahawa perlombongan NR-REE di hutan simpan itu dibenarkan.
“Mungkin kementerian terlepas pandang tentang Akta Perhutanan Negara 1984. Andai kata mineral tersebut berada di luar hutan simpan itu cerita lain tetapi bila sentuh tentang Hutan Simpan Bukit Enggang memang sama sekali tidak boleh. NR-REE pun bukan hasil hutan.
“Saya tak kata NR-REE tidak boleh dilombong tetapi kita berdasarkan undang-undang sedia ada dan isu sekarang adalah berlaku kecurian (nadir bumi), pengeluaran secara haram. Pendirian kami memang sama sekali tidak boleh apa-apa perlombongan sama ada bagi tujuan eksplorasi atau apa jua kajian di kawasan itu,” tegasnya.
Menurut Meor Razak, ia juga selaras dengan kenyataan menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini, bahawa kementerian dan jabatan serta agensinya akan berterusan mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan pengurusan hutan termasuk tidak mengeluarkan skim operasi melombong (OMS) di HSK atau Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).- UTUSAN










