Najib, Arul Kanda bebas atau bela diri: Mahkamah KL jadi tumpuan

Najib, Arul Kanda bebas atau bela diri: Mahkamah KL jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petugas media mula berkumpul di kompleks mahkamah di sini, pagi ini bagi mengikuti keputusan Mahkamah Tinggi terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy.

Ia sama ada kedua-dua mereka diarahkan membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat meminda laporan audit 1MDB.

Petugas media mula berkumpul di kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Najib Tun Razak dan Arul Kanda Kandasamy.

Petugas-petugas media berkumpul di perkarangan kompleks mahkamah sejak pukul 7 pagi dan keadaan sekitar mahkamah terkawal. Najib dan Arul Kanda setakat ini belum tiba di mahkamah.

Najib, 70,, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi beliau daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23 (1) dan 24 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang memperuntuk hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib akan mewakili pendakwaan manakala peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N.Sivananthan masing-masing hadir bagi pihak Najib dan Arul Kanda.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dan setakat ini, pendakwaan telah memanggil 44 saksi.

Tahun lalu, Arul Kanda menjadi saksi dalam kes itu selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 7 September 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas mengemukakan 16 saksi termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tan Sri Dr Ali Hamsa, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan bekas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (NAD), Saadatul Nafisah Bashir Ahmad. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN