Muka lama, baharu terajui UMNO

Muka lama, baharu terajui UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Pemilihan UMNO yang menyaksikan muka lama dan baharu disifatkan sebagai gandingan mantap saf kepemimpinannya untuk menerajui parti itu.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menyifatkan, keadaan itu dapat dilihat dengan kemenangan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempertahankan jawatan Naib Presiden dan dua muka baharu iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Mohamed Khaled masih diperlukan kerana mendapat sokongan kuat parti manakala Wan Rosdy dan Johari mampu mencipta gelombang baharu dalam parti.

“Johari dianggap sebagai tokoh yang boleh dipercayai, mempunyai imej bersih, bercakap pun berdasarkan fakta serta dilihat mempunyai hubungan baik dengan kerajaan perpaduan, jadi beliau dilihat calon yang baik dan mampu memegang jawatan naib presiden.

“Gandingan mereka nampak mantap, kalau mereka bergabung sebagai satu pasukan sama, mereka mampu mewujudkan gelombang baharu dalam UMNO,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu Datuk Seri Azalina Othman Said yang disebut-sebut sebagai bakal Naib Presiden tewas, kemungkinan disebabkan perpecahan undi tiga penjuru di Johor iaitu pertembungan dengan Mohamed Khaled dan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad serta ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa @ Jamaludin.

Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku penyandang pula tewas setelah kalah di Parlimen Padang Terap dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 manakala seorang lagi calon, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang kalah di Parlimen Kepala Batas turut berdepan nasib sama.

Kedua-duanya merupakan bekas menteri di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Majoriti daripada 25 ahli MT baharu adalah muka-muka lama antaranya Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Azeez Rahim yang meraih undi tertinggi.

Hanya sekitar 10 muka baharu meraih undian tertinggi untuk jawatan ahli MT antaranya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan Datuk Lokman Noor Adam.

Dua lagi pemimpin muka baharu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Akmal Saleh yang terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO pada usia 35 tahun manakala Nurul Amal Mohd. Fauzi yang berusia 38 tahun terpilih sebagai Ketua Puteri UMNO setelah memegang jawatan Naib Ketua Puteri sebelum ini.

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad pula berjaya mempertahankan jawatan Ketua Wanita, menewaskan veteran tokoh parti, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil setelah menunjukkan kesetiaannya terhadap presiden dengan meletakkan jawatan sebagai menteri sebelum ini.

Di sebalik keputusan pemilihan parti, geostrategis Prof. Dr. Azmi Hassan menyifatkan, pucuk pimpinan baharu dijangka terus berdepan beberapa isu yang akan dibangkitkan pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Antaranya, isu pertikaian Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO, isu pemecatan dan penggantungan pemimpin parti, selain mendepani enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa yang singkat dan misi mengembalikan semula sokongan orang Melayu.

“Misi UMNO adalah untuk menarik semula sokongan Melayu yang banyak berpindah kepada Pas kerana Pas mempunyai pemimpin yang lebih bersih walaupun pemimpin tidak berwibawa urus hal negeri dan negara tetapi lebih mementingkan pemimpin yang bersih.

“Untuk menyaingi Pas di Pantai Timur dan utara Semenanjung, UMNO perlu menjelmakan parti yang lebih berwibawa bukan sahaja dari segi kepimpinan, tapi dari segi integriti, bersih dan bebas dari rasuah, bukan pada hierarki tertinggi sahaja tapi mula dari bawah, di peringkat cawangan, bahagian, MKT dan kepimpinan tertinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN