SHAH ALAM: Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini menjadi tumpuan khususnya penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dijangka berdepan pertuduhan pengubahan wang haram.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu kembali ke mahkamah untuk berdepan pertuduhan baharu dipercayai berhubung dana berjumlah RM5 juta yang dipercayai berkaitan dengan inisiatif Jana Wibawa.
Jumaat lalu, mahkamah dilapor merancang pengurusan untuk menjalankan prosiding pertuduhan tersebut bagi membolehkan langkah keselamatan diambil dan perjalanan operasi hariannya berjalan lancar.
Beberapa ketetapan dilakukan khususnya kepada pemberita dan jurugambar apabila hanya tiga wakil akhbar termasuk Utusan Malaysia dibenarkan berada dalam kamar mahkamah berikutan jangkaan pertuduhan itu bakal disaksikan ramai penyokong Muhyiddin.
Sementara pemberita lain ditempatkan di dewan khas untuk mendengar pertuduhan kali pertama di sini, secara maya.
Ahli Parlimen Pagoh itu kembali ke mahkamah selepas berdepan enam pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM232.5 juta juga dipercayai berkaitan projek Jana Wibawa.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu untuk suapan berjumlah sedemikian bagi partinya.
Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah atas keenam-enam pertuduhan tersebut dan Hakim Azura Alwi membenarkannya diikat jamin sebanyak RM2 juta serta perlu mematuhi syarat tambahan iaitu menyerahan pasport antarabangsa dan melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdekatan.
Terdahulu, mahkamah Shah Alam menjadi tumpuan pemberita yang membuat liputan pertuduhan dan perbicaraan terhadap beberapa figura dan individu berpengaruh melibatkan pelbagai kes berkaitan rasuah dan jenayah bunuh.
Antaranya adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi selepas berdepan 40 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), pada September 2022.
Selain itu, pertuduhan yang turut mendapat perhatian pemberita adalah kes bunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund melibatkan Samirah Muzaffar serta dua remaja yang dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada Jun tahun lalu.
Turut mendapat perhatian adalah kes saman ahli keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu terhadap Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; peguam dan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan sebagai defendan. – UTUSAN










