KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini semalam membabitkan salah gunakan kedudukan dan pengubahan wang haram berjumlah RM232.5 juta.
Salah satu pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin didakwa dilakukan antara hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan iaitu pada 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.
Muhyiddin adalah bekas Perdana Menteri kedua negara ini dan merupakan individu ketiga daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang didakwa di mahkamah.
Pada 21 Februari lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan didakwa atas pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM7 juta dan meminta rasuah sebanyak RM232 juta berkaitan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuh Raya Pantai Timur bernilai RM232 juta.
Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Shah Alam pada hujung Februari lalu atas lima pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah RM4.1 juta.
Bagi empat pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan, Muhyiddin,76, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menyalahgunakan kedudukan tersebut untuk suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti tersebut.
Suapan tersebut adalah daripada tiga buah syarikat serta seorang individu bernama Azman Yusoff.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 di Pejabat Perdana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,
Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda minimum lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.
Semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib manakala barisan pembelaan diketuai Datuk K. Kumaraedran.
Sementara itu, bagi pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada sebuah syarikat yang didepositkan ke dalam akaun parti Bersatu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 25 Februari dan 8 Julai 2022 di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta atau mana lebih tinggi.
Hakim Azura Alwi selepas merekodkan pengakuan tersebut menetapkan jaminan RM2 juta dengan dua penjamin warga tempatan.
Muhyiddin turut diperintahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa untuk disimpan oleh mahkamah sehingga kes tersebut selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 26 Mei ini. –UTUSAN










