MPFL: Terengganu lebur rekod tanpa kalah Pulau Pinang - Utusan Malaysia

MPFL: Terengganu lebur rekod tanpa kalah Pulau Pinang

PEMAIN Pulau Pinang, Muhamad Razin Abdul Rahim (tengah) melepasi kawalan pemain Terengganu, Mohd. Hafizi Ismail pada perlawanan MPFL di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu meleburkan rekod tanpa kalah Pulau Pinang dalam Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) apabila menang 5-2 di Stadium Negeri di sini, sebentar tadi.

Keputusan itu membolehkan Terengganu memungut tujuh mata untuk terus mengekori Pulau Pinang dan Pahang Rangers yang mengumpul sembilan mata dalam Kumpulan A.

Turun selaku tuan rumah, Terengganu bermula garang dengan gol pembukaan Muhamad Fitrah Mohamad berpunca kelekaan pemain pertahanan lawan seawal minit kedua.

Hanya seminit kemudian Terengganu melebarkan jaringan hasil jaringan mudah Zulkarnain Abdul Majid yang menerima umpanan Mohd. Hafiz Ismail dari sebelah kiri.

Ketinggalan dua gol tanpa balas, Pulau Pinang memperoleh peluang terbaik namun usaha Tarmizi Abdul Ghafar diselamatkan penjaga gol sebelum tindakan susulannya terkena palang.

Kedudukan menjadi 3-0 memihak tuan rumah pada minit ke lapan melalui Muhamad Fitrah yang menyumbat gol kedua peribadi setelah menyudahkan gerakan Amirrul Izzad Adang.

Memasuki minit ke-10, Terengganu semakin selesa selepas Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim berjaya mengelecek penjaga gol pelawat untuk menolak masuk bola ke arah pintu gol yang terbuka luas.

Keghairahan Pulau Pinang melancarkan serangan selepas rehat dihukum Alif Izzat Rosdi (m-35) yang memanfaatkan peluang terhidang menerusi serangan balas untuk gol kelima Terengganu.

Pemain gantian pelawat, Syazwan Ashraf Musa dan Sirhan Aiman Saipubahrim menjaringkan gol saguhati pada minit ke-37 dan ke-40 namun sudah terlewat menghalang kemenangan Terengganu. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya