Mangsa banjir tercicir terima bantuan wang ihsan tidak dipinggirkan  - Utusan Malaysia

Mangsa banjir tercicir terima bantuan wang ihsan tidak dipinggirkan 

AHMAD Zahid Hamidi (dua, kiri) meneliti memorandum yang diserahkan wakil penduduk, Mohd. Yatim Hashim (dua, kanan) di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, petang tadi. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan meneliti mekanisme untuk memastikan mangsa banjir yang tercicir dalam senarai penerima bantuan wang ihsan (BWI) sebelum ini tidak dipinggirkan.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, kaedah peruntukan yang disalurkan kepada kerajaan negeri melalui pegawai daerah turut perlu dikaji semula.

“Jika mangsa tercicir daripada senarai jawatankuasa daerah, kita akan dapatkan peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diagihkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Saya yakin memang ada nama yang tercicir dan kita akan teliti perkara ini,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di negeri ini di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, hari ini.

Ahmad Zahid sebelum itu menerima memorandum daripada 100 penduduk Taman Permint Perdana, Seberang Takir yang terlibat banjir tahun lalu yang mendakwa tercicir daripada senarai penerima BWI sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri tiba di sini untuk menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan  di Masjid Al-Ansar, Kem Sri Pantai, Seberang Takir.

Wakil penduduk, Mohd. Yatim Hashim, 62, berkata, tujuan pertemuan ringkas itu adalah bagi merayu kerajaan Pusat menimbang semula permohonan mereka untuk menerima BWI berjumlah RM3,500.

Mohd. Yatim berkata, mereka kecewa setelah melalui prosedur ditetapkan iaitu mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) dan mengisi butiran ketua isi rumah (KIR).

“Malah kami sudah melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar dapat menyiasat jika ada salah guna kuasa membabitkan pihak yang terlibat dengan agihan BWI.

“Jadi kami harap Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dapat mendengar rintihan mangsa banjir yang tercicir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.