Isteri perlukan RM3,000 sebulan urus suami koma

Isteri perlukan RM3,000 sebulan urus suami koma

NUR Izzati Farhana Sazali memangku anak sulungnya sambil melihat keadaan Wan Mohd. Amzar Wan Ahmad yang koma di Kampung Lati, Pasir Mas, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang isteri buntu memikirkan nasib keluarganya kerana memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3,000 sebulan untuk menguruskan suaminya yang koma selepas rebah semasa menggunting rambut pelanggan di Kampung Lati, dekat sini pada 19 Julai tahun lalu.

Nur Izzati Farhana Sazali, 24, berkata, perbelanjaan itu merangkumi pembelian susu khas, lampin pakai buang, peralatan trakea dan dan keperluan-keperluan lain.

Katanya, sejak suaminya, Wan Mohd. Amzar Wan Ahmad, 27, terlantar, dia hilang tempat bergantung dan tidak mampu bekerja kerana perlu menjaganya serta anak yang masih kecil.

“Suami memerlukan pemantauan setiap masa menyebabkan sukar saya keluar bekerja. Selain Anak sulung kami, Wan Adyan Fareel baru berusia tiga bulan.

“Semasa kejadian menimpa suami, saya hamil dua bulan. Walaupun ujian ini berat, saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nur Izzati berkata, kehidupan mereka kini hanya bergantung kepada bantuan keluarga dan sumbangan orang ramai.

Katanya, setiap hari dia tidak putus-putus berdoa semoga suaminya kembali sedar dan pulih seperti sedia kala.

“Saya sangat berharap suami cepat sedar dan pulih untuk kami bersama-sama membesarkan Wan Adyan Fareel,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Nur Izzati Farhana Sazali melalui akaun CIMB 7643496322. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN