Malaysia rakam terima kasih bantu selesai isu scam pekerjaan

Malaysia rakam terima kasih bantu selesai isu scam pekerjaan

ANWAR Ibrahim disambut oleh Hun Sen sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh untuk lawatan rasmi sehari ke Kemboja. Lawatan rasmi dan sulung Anwar ke negara itu adalah atas undangan Hun Sen. - FOTO/PEJABAT PM

PETALING JAYA: Malaysia merakamkan terima kasih terhadap peranan dan bantuan Kemboja bagi menyelesaikan isu penipuan pekerjaan melibatkan 287 rakyat negara ini yang menjadi mangsa scam pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun ia membabitkan warga Kemboja, tetapi kerajaan berkenaan banyak membantu untuk membawa pulang rakyat Malaysia terlibat.

“Saya ingin menghargai penghargaan kepada Kemboja berhubung isu scam pekerjaan walaupun melibatkan rakyat Kemboja, tetapi banyak membantu kami untuk membawa balik 287 rakyat Malaysia mangsa scam. 

“Saya dimaklumkan, di bawah kepemimpinan anda (Hun Sen) telah beri sokongan penuh dan kerjasama terhadap usaha ini. Terima kasih kerana banyak membantu dan amat bermakna kepada ratusan keluarga mangsa terlibat,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya, Hun Sen di Phnom Penh hari ini.

Terdahulu, beliau dan Hun Sen membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama selain meneroka peluang kerjasama baharu dan memperkukuhkan jalinan hubungan sedia ada.

Kemudian, kedua-dua menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara kerajaan Malaysia dan Kemboja membabitkan pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja dalam sektor domestik dan formal serta usaha pemerkasaan sektor perburuhan. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN