Banjir Nepal: Waris sukar urus komitmen kewangan mangsa

Banjir Nepal: Waris sukar urus komitmen kewangan mangsa

S.Thiru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Waris kepada 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan bencana banjir di kawasan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu berdepan kesukaran menguruskan komitmen kewangan termasuk pinjaman perumahan, kad kredit dan polisi insurans, susulan ketiadaan pengesahan rasmi mengenai nasib ahli keluarga mereka.

Wakil waris, S.Thiru berkata, urusan dengan institusi kewangan sebelum ini sukar diselesaikan apabila pihak bank dan syarikat insurans tidak dapat mendedahkan maklumat kewangan mangsa atas faktor perlindungan data peribadi.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan waris tidak dapat mengenal pasti komitmen kewangan sedia ada, sekali gus menyukarkan usaha menguruskan pembayaran bagi pihak mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mahu membantu membuat pembayaran bagi pihak mereka, tetapi kami tidak boleh berbuat demikian kerana kami bukan individu berkenaan.

“Walaupun kami telah mengemukakan dokumen berkaitan, kami masih berdepan pelbagai prosedur dan perlu menunggu maklum balas daripada pihak institusi kewangan,” katanya selepas pertemuan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membincangkan isu kewangan yang dihadapi waris.

Thiru berkata, pihaknya sebelum ini terpaksa meneruskan pembayaran selama sebulan bagi mengelakkan polisi insurans dan pinjaman terjejas sementara menunggu perkembangan status mangsa.

Katanya, waris memerlukan bantuan kewangan yang lebih tersusun, selain seorang wakil khas yang dapat menyelaras urusan dengan pelbagai pihak berkaitan.

“Kami melihat perkara ini sebagai satu krisis yang memerlukan pengurusan khusus. Namun, sebelum ini setiap keluarga terpaksa menguruskan hal masing-masing walaupun kami berada dalam satu kumpulan,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia menyifatkan penglibatan BNM sebagai perkembangan positif kerana agensi itu membantu waris mendapatkan maklumat kewangan yang sebelum ini sukar diperoleh.

Menurutnya, langkah berkenaan dapat mengurangkan kebimbangan waris mengenai kemungkinan aset dibekukan atau polisi insurans terbatal selain memberikan gambaran lebih jelas mengenai kedudukan kewangan mangsa.

“Urusan berkenaan turut menjadi rumit apabila sesetengah institusi kewangan meminta kehadiran ahli keluarga tertentu termasuk ibu mangsa yang berusia lebih 70 tahun meskipun wakil keluarga telah diberikan kuasa untuk menguruskan perkara berkenaan.

“Saya berharap penglibatan BNM dapat memastikan institusi kewangan memberikan kerjasama sewajarnya kepada waris yang dikenal pasti dan memudahkan urusan berkaitan,” jelasnya.

Mengulas status mangsa yang masih belum diketahui, Thiru berkata, pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih belum mengadakan pertemuan dengan waris bagi membincangkan perkara itu.

Katanya, waris sebelum ini turut mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim  membantu mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Nepal berhubung keperluan mempercepatkan proses pengesahan kematian bagi kes kehilangan dalam keadaan luar biasa.

Nepal telah mengumumkan ordinan yang membolehkan individu hilang dalam situasi berkenaan disahkan meninggal dunia selepas 45 hari.

“Ketika ini, sudah masuk hari ke-48 sejak insiden itu berlaku. Kami berharap perkembangan tersebut dapat membantu mempercepatkan penyelesaian status mangsa,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini