Lindungi kepentingan pencarum, pelaburan KWSP - Utusan Malaysia

Lindungi kepentingan pencarum, pelaburan KWSP

KWSP
RAFIZI Ramli (dua, kiri) bergambar bersama beberapa mahasiswa dan pengurusan UiTM selepas melancarkan mesin penjualan makanan layan diri dekat UiTM Puncak Alam di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pengeluaran wang daripada tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melindungi kepentingan pencarum dan dana pelaburan itu sendiri.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, KWSP berkemungkinan terpaksa mengecilkan pelaburannya sekiranya kerajaan sekali lagi membenarkan pengeluaran wang daripada dana pelaburan berkenaan.

“Sebelum ini, KWSP melaporkan bahawa lebih RM100 bilion melalui program pengeluaran khas ketika berlakunya pandemik Covid-19.

“Sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran khas lagi, kita jangkakan lebih RM100 bilion lagi akan keluar daripada KWSP,” katanya selepas melancarkan mesin makanan layan diri Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, hari ini.

Pada sidang Dewan Negara tahun lalu, bekas Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah memaklumkan sejumlah RM145 bilion wang simpanan yang dikeluarkan oleh pencarum KWSP daripada dana pelaburan tersebut untuk menghadapi pandemik Covid-19.

Beliau menjelaskan situasi tersebut membimbangkan kerana simpanan majoriti simpanan pancarum sangat rendah apabila dianggarkan 6.2 juta pencarum yang berumur lebih 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 sehingga 30 Jun tahun lalu.

Dalam pada itu, Rafizi meminta pencarum supaya pencarum memahami keputusan kerajaan berhubung perkara itu, di dalam situasi ketidaktentuan ekonomi dunia pada ketika ini.

“Pencarum memerlukan dana pelaburan yang baik bagi melindungi mereka supaya mereka mendapat perolehan dividen yang lebih baik. Saya yakin KWSP akan mencari pelaburan yang lebih baik demi pencarum mereka,” tegasnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan itu memaklumkan kerajaan menyasarkan pemasangan 100 mesin penjualan makanan layan diri sebagai alternatif untuk mendapatkan makanan pada harga murah menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) di seluruh negara pada Ramadan ini.

Antara lokasi disasarkan seperti kawasan tumpuan kumpulan berkeperluan seperti institusi pengajian tinggi, pejabat dan hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya