Lelaki ditahan simpan 80 tong LPG dalam stor khas - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan simpan 80 tong LPG dalam stor khas

SEBAHAGIAN daripada 80 tong LPG yang dirampas KPDN di Balik Pulau, Pulau Pinang Jumaat lalu kini disimpan di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN di Bukit Minyak, Bukit Mertajam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan bersama 80 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 14 kilogram (kg) setiap satu yang disimpan di sebuah stor simpanan khas dalam serbuan di Permatang Pasir, Balik Pulau, Jumaat lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, dalam serbuan sama, pihaknya turut menyita sebuah lori yang digunakan untuk membekalkan barang kawalan tersebut dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM23,528.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, denda tidak melebihi RM3 juta boleh dikenakan selain hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Penyimpanan Eksibit KPDN, di sini hari ini.

Tambah Jegan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya juga boleh dikenakan terhadap pertubuhan atau perbadanan yang terlibat.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, Bazar Ramadan Rahmah peringkat negeri akan dilancarkan oleh Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh di pekarangan Masjid Umar Ibnu Al-Khattab, Bayan Baru, 30 Mac ini.

“Sebanyak 142 lot niaga akan disediakan untuk menjalankan aktiviti perniagaan bazar Ramadan di situ dan istimewanya, ia berkonsepkan bidaan sewa yang tertinggi iaitu daripada RM3,000 kepada RM1,000 sahaja.

“Difahamkan, konsep menu rahmah juga akan diperkenalkan di Bazar Ramadan Rahmah itu nanti,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya