PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini dalam usaha mengesan dan mendapatkan semula aset syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada beberapa lagi nama yang disebut bekas Pengerusi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner.
Tanpa memperinci individu dan nilai berkenaan, satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, tindakan itu adalah usaha berterusan SPRM selepas berjaya dapatkan semula wang AS$10 juta dari bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan tahun lalu.
“SPRM kini dalam proses memperinci aset-aset daripada nama-nama tertentu yang disebut oleh Tim Leissner.
“Bagaimanapun tindakan itu mengambil masa yang panjang memandangkan maklumat-maklumat yang diperoleh SPRM dari luar negara,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia pada 23 Januari tahun lalu melaporkan, terdapat beberapa nama-nama besar dikenal pasti telah menerima dana berkaitan 1MDB, bagaimanapun ia tidak pernah didedahkan mana-mana pihak.
Perkara itu jelas dilihat susulan usaha SPRM melakukan pemulihan aset di dalam dan luar negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong yang melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB bernilai RM20.5 bilion.
Dalam perkembangan sama, sumber mendedahkan, pemulangan kesemua wang dan aset yang diperoleh Rohana dilakukan selepas siasatan mendapati beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang sumber dana dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB yang dihantar Tim Leissner.
Sehubungan itu kata sumber, Rohana telah memulangkan keseluruhan jumlah wang dan aset tersebut secara sukarela kepada Kerajaan Malaysia.
“Siasatan SPRM membabitkan Rohana berkaitan dengan dana 1MDB selesai dan tiada tindakan undang-undang susulan terhadapnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan pemulangan wang AS$10 juta oleh Rohana.
Bagaimanapun beliau enggan memperinci perkara itu dan sekali lagi menegaskan sebanyak RM28.93 bilion iaitu lebih kurang 70 peratus jumlah keseluruhan dana 1MDB yang telah berjaya dikembalikan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat laporan kepada SPRM pada 27 Oktober 2021 supaya tindakan diambil terhadap individu dalam kerajaan dan 1MDB yang menerima sogokan daripada bekas pegawai tertinggi Goldman Sachs itu.
Laporan dibuat Najib supaya pihak berkuasa boleh menyoal siasat atau mengekstradisi bekas pegawai tertinggi Goldman Sachs itu.
Pada 13 April tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Rohana yang didakwa mempunyai hubungan dengan Tim Leissner bersetuju menyerahkan semula wang AS$10 juta yang diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. berkenaan.

Rohana didakwa menggunakan wang AS$10 juta yang diberikan oleh Leissner termasuk membeli sebuah rumah di London yang dikatakan bernilai RM29 juta (AS$7 juta).
Kaitan Rohana dengan dana 1MDB bermula susulan pendedahan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS) pada Februari tahun lalu.
Leissner turut mendakwa dia membelanjakan AS$10 juta untuk membeli sebuah rumah di London untuk Rohana selepas wanita itu kecewa kerana dia memutuskan hubungan mereka selama 10 tahun untuk berkahwin dengan model AS, Kimora Lee Simmons pada 2013.
Leissner mendakwa dia membeli rumah kepada Rohana kerana wanita itu mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.
Sebelum itu, pada 2018, Leissner mengaku bersalah terlibat dalam pelanggaran undang-undang antirasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.
Pertuduhan terhadapnya turut merangkumi penjualan bon berkaitan 1MDB bernilai kira-kira AS$6.5 bilion (RM27.2 bilion), yang diuruskan dengan bantuan Goldman Sachs pada 2012 dan 2013.
Goldman Sachs pada 2020 bersetuju membayar denda AS$3 bilion (RM12.5 bilion) dan anak syarikatnya di Malaysia mengaku bersalah di mahkamah AS. – UTUSAN










