PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memperhalusi saranan mewajibkan pihak industri mengambil pelajar praktikal melalui akta atau peraturan susulan dakwaan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) sukar mendapat tempat untuk latihan berkenaan.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang cadangan mewajibkan pihak industri itu akan dijawab atau dibawa di Parlimen.
“Apa-apa akan dijawab di Parlimen. Kalau ada apa-apa keperluan akan dibawa ke Parlimen, benda ini bukan baharu,” katanya semalam.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada akan meneliti atau membincangkan di Kabinet berhubung cadangan mewajibkan pengambilan pelajar praktikal melalui akta atau peraturan itu.
Sabtu lalu akhbar ini melaporkan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain menyarankan kerajaan mewajibkan agensi kerajaan dan syarikat swasta mengambil pelajar praktikal melalui akta atau peraturan bagi menangani masalah kesukaran pelajar mendapatkan pengalaman dalam industri berdasarkan bidang yang dipelajari.
Ia susulan kira-kira 40,000 pelajar IPT sukar mendapat tempat untuk praktikal sebagai syarat sebelum menamatkan pengajian mereka.
Ini kerana tiada syarikat yang bersesuaian dengan pengajian mereka, majikan enggan membayar elaun dan menolak untuk menerima siswa bagi tempoh yang pendek kerana dikatakan tidak menguntungkan syarikat.
Menurut Mohd. Izani, jika pengambilan tersebut diwajibkan, ia secara langsung akan menjadikan sistem praktikal lebih teratur dan profesional sama seperti pengambilan pekerja sepenuh masa.
Malah, katanya, pemain industri sendiri akan mengambil serius terhadap pengambilan pelajar praktikal terutama dalam mencari bakal graduan yang berpotensi untuk diserap masuk sebagai pekerja tetap. – UTUSAN










