Kes SRC: Najib tiba, Mahkamah Persekutuan jadi tumpuan 

Kes SRC: Najib tiba, Mahkamah Persekutuan jadi tumpuan 

NAJIB Tun Razak tiba di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menjadi tumpuan umum dengan pelbagai agensi media mula berkumpul seawal pukul 7 pagi bagi mengikuti keputusan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini. 

Ia berkaitan keputusan mahkamah yang mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. 

Sekiranya permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibenarkan, maka, pendengaran merit semakan akan ditetapkan dan jika sebaliknya, Najib akan meneruskan hukuman penjara 12 tahun ke atasnya sebelum ini. 

Najib dilihat tiba di sini pukul 8.35 pagi  menaiki kenderaan kerajaan dari Penjara Kajang diiringi polis. 

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul dan beberapa lagi pasukan pendakwaan tiba kemudian.


ORANG ramai yang dipercayai penyokong Najib Tun Razak berkumpul di luar mahkamah bagi mengikuti keputusan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini.  – UTUSAN/MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai yang dipercayai adalah penyokong Najib sudah berkumpul di luar mahkamah sejak pukul 7 pagi tadi bagi mengikuti keputusan mahkamah hari ini. 

Keadaan di sekitar mahkamah dilihat terkawal tanpa sebarang laungan solidariti kepada bekas Presiden UMNO itu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Besar Sabah Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais akan memutuskan sama ada Najib layak diberi kebenaran menyemak semula kes beliau.

Pada 6 September 2022, Najib memohon penghakiman Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara disemak semula, malah beliau turut memohon dibebaskan daripada tahanan sementara menunggu semakan itu diputuskan.

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu mula didengar pada 19 Januari lalu sebelum terhenti kira-kira sebulan dan bersambung semula selama lima hari bermula 20 Februari lalu.

Sekiranya semakan itu mempunyai merit, Najib memohon agar pendengaran rayuan akhir itu didengar semula di hadapan panel hakim yang lain yang dianggotai tidak kurang daripada tujuh orang hakim atau yang difikirkan sesuai.

Selain itu, Najib juga memohon agar beliau dilepas dan dibebaskan daripada sabitan serta hukuman dan kes penyelewengan dana SRC International dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain. Turut dimohon ialah relif-relif lain yang difikirkan sesuai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.