Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi dirangka, kurangkan ketirisan

Kerajaan rangka laksana Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi

Kerajaan sedang merangka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi bagi mengurangkan isu ketirisan bahan api itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi menjayakan pemberian subsidi bersasar dan mampu mengurangkan ketirisan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sistem itu dijangka siap pada suku keempat tahun ini dan kerajaan turut mengkaji kesan ke atas kos kenaikan harga barang sekiranya SKDS berjaya dilaksana.

“Kerajaan akan memberi pendekatan berbeza kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan sektor ini tidak terjejas dengan pelaksanaan sistem tersebut.

“Namun, semuanya masih dalam kajian dan sistem ini hanya akan disiapkan pada separuh kedua tahun ini dan tarikh pelaksanaannya belum ditetapkan.

“Kerajaan meneroka langkah menambah baik pemberian subsidi secara lebih bersasar dalam mengurangkan ketirisan dan mengoptimumkan pembelanjaan kepada program dan projek yang memberi nilai tambah kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat semalam.

Terdahulu, Khoo Poay Tiong [Kota Melaka-PH] menerusi soalan tambahan meminta Kementerian Kewangan menjelaskan mengenai rasional pelaksanaan dan langkah mitigasi untuk membantu sektor yang terkesan.

Selain itu, Ahmad menjelaskan, pasukan khas telah diwujudkan di bawah kementerian tersebut untuk bekerjasama dengan kementerian, jabatan serta agensi terlibat bagi meneliti keperluan dan kemampuan subsidi secara bersasar.

Inisiatif tersebut juga dijangka mampu mengenal pasti kaedah berkesan yang boleh menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan paling minimum kepada kerajaan termasuk mengumpul data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Penepatan kriteria kelayakan masih belum diputuskan, namun usaha membangunkan pusat data yang komprehensif sedang dibuat bagi membantu kerajaan menetapkan kriteria yang bersesuaian berdasarkan data yang diperoleh.

“Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat tertaluk kepada ketersedian serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat terutama golongan B40 tidak terjejas,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN