Keputusan cabar pengislaman unilateral anak 11 Mei - Utusan Malaysia

Keputusan cabar pengislaman unilateral anak 11 Mei

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengislaman tiga kanak-kanak yang didakwa dilakukan secara unilateral (sebelah pihak) dan tanpa kebenaran daripada ibu tunggal, Loh Siew Hong tidak melanggar mana-mana peruntukkan undang-undang.

Sebaliknya, pengislaman yang dibuat oleh bapa ketiga-tiga anak itu, M. Nagahswaran adalah sejajar dengan Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perlis) 2006 yang memperuntukkan bahawa hanya kebenaran daripada ibu atau bapa diperlukan dalam menukar agama anak mereka kepada Islam.

Tambah peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, penggunaan keputusan kes Indira Gandhi dalam permohonan semakan kehakiman Siew Hong selaku pemohon adalah tidak tepat kerana terdapat perbezaan ketara di antara kedua-dua kes.

“Dalam kes Indira Gandhi, si ibu berada di rumah, sentiasa bersama kanak-kanak tetapi dalam kes ini, pemohon telah tidak ada di rumah bersama anak-anaknya selama dua tahun.

“Maka, sewaktu pengislaman dibuat, bapa kanak-kanak telah memaklumkan bahawa keberadaan ibu anak-anaknya tidak diketahui.

“Oleh itu, isu kebenaran tidak timbul dan fakta ini juga tidak dinafikan oleh pemohon sendiri dalam afidavit mereka,”katanya yang mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan pasangan yang memeluk Islam manakala pasangannya bukan beragama Islam mesti memberi persetujuan bagi penukaran agama anak bawah umur kepada Islam.

Sehubungan itu, panel hakim ketika itu membatalkan pengislaman yang dibuat oleh bekas suami Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah, (dahulu dikenali sebagi K. Pathmanathan), yang merupakan seorang mualaf terhadap anak mereka.

Peguam terbabit menghujahkan demikian di Mahkamah Tinggi di sini semalam dalam pendengaran permohonan semakan kehakiman Siew Hong bagi mencabar pengislaman ketiga-tiga anaknya sekaligus memohon membatalkan pengislaman tersebut.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Terdahulu, peguam, A. Srimurugan yang mewakili SIew Hong menghujahkan, semua pihak yang terlibat dalam permohonan tersebut tidak tidak mempertikaikan fakta bahawa anak-anak pasangan itu telah ditukar agamanya secara unilateral.

Namun, yang dipertikaikan ialah status kesahihan proses penukaran terbabit.

“Berdasarkan tafsiran Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan, dan Seksyen 5 dan 11 Akta Penjagaan Kanak-Kanak, adalah disimpulkan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf,”katanya.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Mohd. Radhi Abas menghujahkan bahawa tafsiran yang betul untuk perkataan “ibu bapa” seperti termaktub dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan bermaksud tunggal iaitu sama ada ibu atau bapa.

Jelas Mohd. Radhi, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa agama seseorang di bawah umur 18 tahun hendaklah diputuskan oleh ibu atau bapa atau penjaganya.

Selepas mendengar hujah tersebut, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan 11 Mei ini untuk keputusan permohonan semakan kehakiman itu.

Menurut permohonan yang difailkan, wanita itu antara lainnya memohon agar anak-anaknya, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan-akuan memeluk agama Islam kesemua kanak-kanak tersebut bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

Siew Hong turut memohon deklarasi bahawa bekas suaminya, Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenarannya dan ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak mempunyai keupayan di sisi undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenaran daripada wanita terbabit.

Selain itu, Siew Hong turut memohon Pendaftar Mualaf Negeri Perlis membatalkan kad memeluk agama Islam anak-anaknya itu dan memadamkan nama anak-anaknya daripada Daftar Mualaf Negeri Perlis.

Ibu tunggal itu turut memohon deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak tanpa kebenaran daripada kedua-dua ibu bapa adalah bertentangan dengan perlembagaan, tidak sah dan terbatal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya