Obesiti penduduk makin kronik

Obesiti penduduk makin kronik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini Bandar Milan dilaporkan akan memperkenalkan undang-undang baharu melarang pembelian aiskrim selepas waktu tengah malam dalam usaha mengekang orang ramai berkumpul dan membuat bising di kawasan jalan di bandar itu, sekali gus menjaga ketenteraman penduduk.

Undang-undang meliputi 12 daerah itu turut melarang pembelian piza dan minuman selepas waktu
tengah malam.

Menariknya penduduk mempunyai masa sehingga bulan depan bagi membuat rayuan dan mencadangkan perubahan terhadap undang-undang itu.

Bila membabitkan soal pemakanan ini saya teringat mengenai masalah obesiti yang masih membaluti negara kita.

Negara syurga makanan ini, kekal gelaran juara obesiti di rantau ini dengan satu daripada dua penduduknya berisiko obesiti.

Tak lawak bila rakyat kita dikaitkan suka makan dengan gaya pemakanan yang tidak sihat, ‘dilengkapi’
pula dengan gaya hidup kita yang tidak aktif sebagai punca kejuaraan itu.

Saya bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa larangan kedai makan daripada beroperasi 24 jam bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan dan obesiti di negara ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader turut menggesa lesen operasi 24 jam diberikan kepada kedai makan dimansuhkan kerana kajian menunjukkan ada kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Sebenarnya, apa keperluan untuk makan hingga ke tengah malam? Saya pernah menemubual seorang kaunselor mengenai obesiti.

Katanya, kelompok yang suka makan dan berpeleseran hingga ke tengah malam ini, akan mencipta kelompok yang tidak boleh tidur malam juga menyebabkan mencari lokasi-lokasi yang beroperasi ini melepak.

Bila tidur lambat, bangun pagi pun lambat. Kalau kita ada 1,000 orang bersikap begini bagaimana dengan produktiviti negara. Malangnya ia turut merebak dalam kalangan budak sekolah yang seharusnya tidak boleh ada tabiat makan tengah malam.

Saya suka bila Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyatakan yang tuduhan kedai makan 24 punca obesiti perlu dibuktikan secara empirikal sebab sekurang-kurangnya isu ini diberikan
perhatian.

Akses terhad kepada makan lewat malam akan menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat sebenarnya.

Lebih-lebih lagi penyelidikan menunjukkan individu yang makan lewat malam melebihi 40 peratus daripada keperluan tenaga harian mereka, menimbulkan faktor risiko ketara bagi obesiti.

Fakta ini tidak cukup menakutkan ke?

Biarpun ada yang menolak cadangan CAP itu, tetapi kuasa pengguna jauh lebih besar.

Kerajaan perlu dengar cadangan rakyat yang sama-sama turut memerah otak memikirkan apa lagi usaha boleh kita ambil dalam bersama-sama membantu mengawal obesiti dalam kalangan penduduknya.

-Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana, Utusan Malaysi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×