KEMERIAHAN Aidilfitri dua tahun kebelakangan ini amat berlainan sekali dan memberi 1,000 makna
kepada seluruh Umat Islam di Malaysia.
Maklumlah setelah dua tahun Ramadan dan Syawal diraikan sekadarnya sahaja.
Bermula dua tahun lalu pengumuman tarikh 1 Syawal yang agak menggemparkan sehinggalah bermacam-macam kisah berlaku di sebaliknya.
Seronok mengenang kembali betapa ada yang kelam-kabut selepas pengumunan berkenaan.
Bagi mereka yang kehilangan insan tersayang terutama ibu bapa, Aidilfitri tidak mungkin seindah dahulu.
Kenangan akan mengusik jiwa saat takbir bergema. Saat itu, banyak air mata tumpah. Bukan disebabkan rasa sedih, tetapi kerinduan kepada mereka yang sudah tiada.
Minggu ini saya kongsikan kisah Fadilah, (bukan nama sebenar) yang turut merasai kesedihan yang sama setiap kali tibanya Aidilfitri.
Katanya, Syawal yang sepatutnya disambut ceria sudah tidak mendatangkan sebarang makna setelah kehilangan orang tersayang sekali gus pada penghujung tahun 2022.
Fadilah mengakui seperti tahun sebelum, Ramadan dan Syawal tahun ini tiada bezanya.
Tetap keseorangan dan kesunyian setelah kehilangan orang tersayang dalam tragedi coronavirus yang meragut nyawa empat ahli keluarganya.
Menurut wanita berusia 28 tahun itu, apalah daya dia untuk menahan takdir. Memang sudah suratan
pemergian mereka akibat pandemik yang rakus itu.
Kata Fadilah, pada awalnya dia tidak dapat menerima sepenuhnya kehilangan orang-orang terdekat dalam yang pergi sekelip mata.
Bayangkan dalam tempoh dua bulan, dia kehilangan semuanya.
“Kadang kala pernah terlintas di fikiran kenapa Allah SWT berikan ujian seberat ini. Namun saya segera beristighfar,” ujarnya.
Bagi melupakan seketika kesedihan selepas kehilangan insan-insan tersayang, dia menyibukkan diri dengan tanggungjawab dan pekerjaannya.
Selain itu dia meneruskan aktiviti kesukarelaan yang disertai sejak di kampus.
Kesibukan itu menjadikan dia tidak terlalu larut dalam kesedihan.
“Bagaimanapun setiap kali menjelangnya Ramadan dan Syawal, ingatan kepada mereka yang telah tiada kembali menjentik hati dan perasaan.
“Sejujurnya, itulah yang berlaku pada saya pada tahun lepas. Cukup sukar menggambarkan perasaan itu,” katanya lagi.
Mengimbas perkahwinannya bersama arwah suami, katanya, mereka disatukan pada Januari 2020, dua bulan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 31 Mac.
Dalam tempoh pelaksanaan PKP, dia banyak menghabiskan masa dan melakukan aktiviti bersama arwah suami.
Kenangan-kenangan itulah membuatkan dia cukup bersedih ditambah pula mereka belum dikurniakan zuriat.
Katanya, tahun lalu dia hanya memandang skrin televisyen. Raya esok atau lusa tiada beza baginya.
Menurutnya, dia tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya hanya ditampar kesedihan yang amat sangat.
Dahan tempat menumpang berpaut habis patah semuanya. Ditebang oleh suratan yang menghampakan.
Namun katanya, menangis air mata darah sekalipun tidak dapat mengembalikan suami, ibu bapa dan dua adik ke pangkuannya.
Pemergiaan mereka adalah qada dan qadar. Penyakit itu hanya asbab sahaja dan dia ikhlaskan juga apa yang telah berlaku.
Mengimbas kenangan menyambut Syawal pertama kali tanpa insan tersayang tahun lalu cukup menyedihkan.
Pagi raya itu tidak ubah seperti hari-hari biasa yang dilalui. Hatinya patah 1,000 selepas
mendengar lagu-lagu kenangan hari raya yang berkumandang.
Hatinya tidak segirang lagu didendang. Air mata berjuraian. Usai solat subuh pagi itu, dia terlena.
Terdengar ketukan pintu menyedarkannya bahawa matahari sudah tinggi. Entah berapa lama terlena dia sendiri tidak pasti.
Fadilah membuka daun pintu.Terpacul wajah kerisauan sepupu yang juga sahabat baiknya, Maria (bukan
nama sebenar) yang beria-ria mengajaknya pulang ke kampung.
Maria bimbang Fadilah kemurungan kerana melayan perasaan sedihnya.
Pelawaan Maria ditolak secara baik dengan alasan dia ingin meraikan Aidilfitri sendirian tambahan pula perlu bertugas pada hari raya ketiga.
Untuk tahun ini kata Fadilah, dia tidak ingin lagi sendirian meraikan Aidilfitri, sebaliknya bersama saudara-mara yang masih ada.
Ini termasuklah menziarahi keluarga ibu dan bapa mentuanya di utara tanah air.
“Saya sangat rindukan masakan dan pelukan emak. Namun saya perlu menerima hakikat emak sudah tiada,” ujarnya.
Katanya, kenangan paling tidak dapat dilupakan adalah sambutan Aidilfitri pada 2019.
Sejujurnya, ia adalah hari raya paling bermakna kepada Fadilah bersama keluarganya sebelum PKP .
“Hubungan saya dengan ibu dan ayah sangat rapat. Rasa kesedihan kehilangan mereka tidak pernah hilang. Namun sebagai isteri dan anak saya sentiasa menitip doa kepada mereka selagi nyawa dikandung
badan,” ujarnya sedih.
Fadilah berharap kepulangannya untuk berhari raya di kampung dapat menyembuhkan rindu yang membusung di dada.
Kerinduan itu memang sakit tidak tertanggung. Namun dia harus bangkit dengan semangat baru.
Dia harus kuat untuk meneruskan kehidupan. Kini semuanya terpulang kepada dirinya sendiri. Sama ada untuk terus larut dan meratap kesedihan atau lebih kuat menghadapi ujian Allah.
“Saya sangat-sangat bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kepada saya untuk meraikan Aidilfitri pada tahun ini,” ujarnya.
Sesungguhnya, Aidilfitri itu bukan soal kegembiraan sematamata, tetapi ia berkisar tentang bagaimana kita menyuarakan rasa syukur atas segala nikmat Allah berikan.
Paling utama persaudaraan yang selama ini renggang kembali rapat, yang bersengketa menjadi damai dan yang jauh didekatkan.
Islam sangat menggalakkan umatnya berusaha memperbaiki dan pertingkatkan hubungan silaturahim.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10, bermaksud: Sesungguhnya orang mukmin
itu bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.










