PETALING JAYA: Keluarga seorang kru kapal kargo MV Dai Cat 06, masih tertanya-tanya nasib adiknya, Derrent Littor, 22, selepas tiada sebarang petunjuk baharu meskipun hampir dua bulan kehilangan kapal tersebut yang kali terakhir dikesan di perairan Indonesia, 9 Januari lalu.
Sandra Littor, 32, berkata, keluarganya menemukan jalan buntu apabila tiada sebarang perkembangan terbaharu berkaitan kehilangan Derrent, malah dia tidak mengetahui sama ada usaha pencarian kapal kargo oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) itu masih dijalankan atau sebaliknya.
Bagaimanapun, dia percaya Derrent masih hidup selain berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan lebih proaktif bagi menemukan kapal tersebut.
“Saya dan keluarga setiap minggu mendapatkan perkembangan daripada Maritim Malaysia namun jawapan mereka semuanya masih dalam siasatan.
“Kami buntu memikirkan nasib Derrent yang kali terakhir dapat dihubungi pada 1 Januari lalu. Jika kami dapat cari sendiri, kami akan cuba usahakan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Sandra turut mendakwa, tiada wakil syarikat kapal kargo terbabit tampil memberikan penjelasan mengenai insiden terbabit walaupun pelbagai usaha dilakukan keluarganya bagi menemukan majikan adiknya.
“Yang lebih menghairankan pihak syarikat seolah-seolah melarikan diri apabila semua mesej dan panggilan kami tidak dijawab mereka.
“Kita mahu mereka jelaskan apa berlaku sebenarnya selain dakwaan adik (Derrent) yang pernah memaklumkan kepada keluarga tidak menerima gaji sebelum dilaporkan hilang,” katanya.
Sementara itu, sumber berkata, Maritim Malaysia masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melalui aset yang berada di perairan.
“Bagaimanapun semuanya masih dalam siasatan. Maritim Malaysia setakat ini telah memanggil 16 individu bagi diambil keterangan dalam usaha membantu mengenal pasti punca kehilangan serta keberadaan kapal kargo.
“Antara individu yang dirakam keterangan membantu siasatan adalah pemilik kapal, syarikat dan wakil-wakil atau ejen yang dilantik, ahli keluarga mangsa dan bekas kru kapal MV Dai Cat 06,” katanya.
Pada 9 Januari lalu, kapal kargo itu yang didaftarkan di Malaysia itu dipercayai hilang di perairan Indonesia selepas ejen kapal membuat laporan apabila kapal tersebut gagal dikesan.
Kapal berukuran 52 meter membawa 527 batang besi bernilai RM726,205 itu dinaiki lima kru membabitkan tiga warga tempatan serta dua warga Indonesia.
Difahamkan, nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, dari Indonesia, manakala jurutera kanan kapal juga warga Indonesia, Damai Papane Ole, 57.
Tiga rakyat Malaysia yang turut serta dalam kapal berkenaan adalah ketua operasi kapal, Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24; Mohammad Sudeh Sudin, 20, dan Derrent Littor, 22.
MV Dai Cat 06 berlepas dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember lalu. – UTUSAN











