Kelong ikan jadi ‘pusat jual beli’ dadah

Kelong ikan jadi ‘pusat jual beli’ dadah

SEBAHAGIAN suspek yang ditahan melalui Op Tapis Khas IPD Kuala Muda di jeti pendaratan ikan di Tanjung Dawai, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Takut ditangkap pihak berkuasa antara alasan diberikan seorang pengedar dadah yang menjadikan kelong ikan di tengah laut berdekatan Tanjung Dawai, di sini sebagai lokasi jual beli bahan terlarang itu.

Bagaimanapun kegiatan jahatnya terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda yang menyamar sebagai pembeli berjaya menahannya dalam Op Tapis Khas, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Anuar Abdul Rahman berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat daripada penagih yang berjaya ditahan di jeti pendaratan ikan dan beberapa buah rumah sekitar Tanjung Dawai dan Kuala Muda.

“Selepas mendapat maklumat daripada penagih yang ditahan, kita menggunakan bot nelayan untuk menghampiri kelong berkenaan.

“Tokan berumur 50-an itu berjaya ditahan di atas botnya berdekatan kelong tersebut bersama sejumlah dadah jenis heroin dan mengaku menjadi pembekal kepada penagih di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Anuar, turut ditahan dalam operasi itu ialah seorang lagi pengedar dan 19 penagih dadah yang menjadikan jeti dan beberapa buah rumah di perkampungan nelayan di situ sebagai tempat melepaskan gian.

Kesemua suspek lelaki yang ditahan merupakan penduduk tempatan dan berumur antara 20-an hingga 50-an.

“Kita turut berjaya merampas dadah jenis heroin dalam anggaran berat 8.04 gram dan syabu yang dianggarkan seberat 1.90 gram serta air ketum 1.5 liter. Kesemua yang ditahan di bawa ke IPD Kuala Muda untuk disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambahnya, komuniti setempat diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan mereka bagi membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan itu daripada terus berleluasa. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya