Kekalkan hukuman sebat, buat di khalayak ramai

Kekalkan hukuman sebat, buat di khalayak ramai

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadangkan menambah baik hukuman sebatan bagi kes-kes di mahkamah sivil dengan melaksanakannya secara terbuka di khalayak ramai.

Menerusi hukuman itu yang disaksikan orang awam diyakini memberi impak besar, sekali gus menjadi faktor pencegahan agar tidak melakukan kegiatan jenayah di luar jangka.

Hukuman sebatan juga wajar dikekalkan dan tidak perlu diganti dengan alternatif lain meskipun ada pandangan ia bersifat kuno, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Peguam Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, hukuman berkenaan ketika ini masih tidak menyeluruh malah tidak berkesan untuk mengurangkan kadar kenaikan jenayah.

“Selama ini kita ada hukuman sebat tapi tidak dibuat di hadapan orang ramai. Bagaimana mereka berasa takut dan bimbang? Sebab ia berlaku di sebalik tirai besi (penjara), jadi orang di luar sana tidak dapat bayangkan situasi itu andaikan berlaku kepada mereka.

“Masalahnya, bagi saya terdapat sedikit kecenderungan pemimpin yang mengkritik seolah-olah ia satu hukuman barbaric yang tidak lagi layak diguna pada masa kini. Di Arab Saudi dan Medan, Indonesia melaksanakannya, tidakkah ia mengurangkan kadar jenayah di sana? Mesti ada.

“Tidak banyak negara yang buat hukuman sebat di khalayak ramai, sebab kononnya sudah beralih kepada konsep negara bertamadun, para banduan tidak layak dilayan sebagai ‘binatang’ di hadapan orang ramai. Sebenarnya, ini kritikan tidak munasabah,” katanya.

Sementara itu, peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi turut bersetuju supaya kerajaan mengekalkan hukuman sebatan kerana ia masih bersifat deterrent (mencegah) berdasarkan bentuk jenayah yang dilakukan.

“Kalau setakat hukuman penjara (sebagai alternatif mengganti hukuman sebat) seberapa lama pun tempohnya, kadang-kadang ia proses cegahan itu tidak berlaku dan kegiatan jenayah masih berterusan,” katanya.

Kelmarin, akhbar ini me­laporkan, persetujuan Jemaah Menteri untuk tidak lagi mengenakan hukuman penjara sepanjang hayat sebagai alternatif kepada hukuman mati mandatori menimbulkan persoalan jika pelaksanaan hukuman sebat pula kekal atau akan diganti dengan hukuman lain.

Dalam persidangan Dewan Negara minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan, kerajaan bersetuju melakukan perubahan sistem keadilan de­ngan meluluskan beberapa dasar baharu termasuk pemansuhan hukuman mati.

Katanya, bacaan kali pertama bagi Rang Undang-Undang (RUU) Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 dan RUU Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 dilakukan semalam.

Bagaimanapun, makluman Azalina tidak menyentuh soal hukuman sebat ketika kerajaan terdahulu telah bersetuju mengkaji hukuman alternatif bagi mengganti hukuman itu yang dilihat terlalu kejam.

Justeru, kerajaan dicadang supaya tampil dengan gambaran jelas berhubung status hukuman sebat selain jika bersedia membentang rang-undang-undang berkaitan hukuman sebatan di Dewan Rakyat.

Pada Ogos 2022, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu berkata, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang mengkaji hukuman alternatif bagi mengganti hukuman sebat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN