KDN masih teliti persediaan asas keluarkan kanak-kanak dari depot tahanan

KDN masih teliti persediaan asas keluarkan kanak-kanak dari depot tahanan

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyaksikan penyerahan sijil pengiktirafan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi (kanan) kepada Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman (dua kiri) pada Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) masih meneliti persediaan asas perancangan bagi mengeluarkan kanak-kanak yang berada dalam tahanan di depot Imigresen kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, buat masa ini, pihaknya sedang mengenal pasti jumlah sebenar kanak-kanak yang sedang ditahan di fasiliti tersebut.

“Ia adalah pengumuman polisi yang dibuat beberapa minggu lalu. Saya juga berbincang mengenainya dan Ketua Setiausaha bersama pegawai atasan di KDN akan memastikan perkara itu berterusan.

“(Ini kerana) masih terdapat ground works terutama untuk mengenal pasti jumlah sebenar kanak-kanak yang sedang ditahan di depot Imigresen,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Pada 16 Februari lalu, media melaporkan KDN sedang dalam proses mengeluarkan sejumlah kanak-kanak yang berada dalam tahanan di depot Imigresen.

Saifuddin berkata, pihaknya mempunyai maklumat lengkap dari segi jumlah dan profil mereka untuk diserahkan kepada NGO khusus bagi penjagaan kanak-kanak selain tidak menghalang mana-mana NGO untuk masuk ke depot tahanan bagi melawat kumpulan kanak-kanak itu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kesihatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Saifuddin berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara berkenaan oleh pihak penjara semalam.

“Semalam KP penjara maklumkan saya, benar (Najib) dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan bersabit dengan kesihatannya. Ia permohonan biasa yang dibenarkan oleh Jabatan Penjara (iaitu) memberikan pelepasan dalam tempoh tertentu.

“Bergelar tahanan tak menghilangkan hak beliau untuk mendapatkan rawatan, saya fikir itu kaedah KDN khsususnya Jabatan Penjara menguruskan hal tersebut,” ujarnya.

Semalam media melaporkan, Najib dimasukkan ke hospital sejak beberapa hari lalu kerana tidak sihat dan pemeriksaan kesihatan mendapati beliau menghidap jangkitan paru-paru.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan denda RM210 juta sejak 23 Ogos tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya dalam kes SRC International. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya