JEREZ: Pengurus Besar Ducati, Gigi Dall’Igna menepis spekulasi berhubung tahap kecergasan Marc Marquez sebaliknya menegaskan juara dunia MotoGP itu berada di tahap terbaik menjelang perlumbaan di Jerez, hujung minggu ini.
Menurutnya, Marquez yang sebelum ini mengalami kecederaan bahu kanan selepas insiden bersama Marco Bezzecchi di Indonesia, menunjukkan pemulihan yang positif.
“Dia mengalami kecederaan yang agak serius dan terlepas beberapa perlumbaan penghujung musim lalu. Namun, saya lihat keadaannya semakin baik dan dijangka mencapai tahap kecergasan 100 peratus di Jerez,” katanya.
Marquez yang membuat penampilan sulung bersama Ducati Lenovo musim ini masih belum meraih podium, sekali gus menyaksikannya berada di kedudukan kelima keseluruhan setakat ini.
Dalam pada itu, Dall’Igna mengakui sistem konsesi MotoGP memberi cabaran tambahan kepada Ducati, namun enggan menjadikannya sebagai alasan.
“Sistem ini bertujuan mengimbangi persaingan dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kami, tetapi itu bukan alasan. Kami tetap perlu bekerja keras untuk kembali menjadi pasukan penanda aras,” katanya. – AGENSI/UTUSAN









