Kalau curi duit, tidak simpan dalam akaun parti politik

Kalau orang curi duit, tidak simpan dalam akaun parti politik – Faizal Azumu

AHMAD Faizal Azumu bercakap dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini -UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seseorang yang mencuri wang tidak akan bertindak menyimpan wang tersebut di dalam akaun bank parti politik.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, secara realistik, perkara itu tidak akan berlaku.

“Kalau orang mencuri, masuk akaun bank elok-elok, itu tidak akan berlaku. Namun, Bersatu menyerahkan perkara ini kepada barisan peguam yang mewakili Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mahkamah (untuk membuat keputusan),” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di Menara PGRM di sini hari ini.

Beliau menghadiri Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu 2022 yang berlangsung hari ini sehingga Ahad ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ketua Bersatu Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman.

Persidangan yang sepatutnya diadakan pagi tadi ditangguh bagi membolehkan ahli Bersatu menunjukkan sokongan terhadap Muhyiddin yang didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam sidang media sama, Hamzah menafikan cakap-cakap bahawa kes dihadapi Muhyiddin telah menyebabkan perpecahan dalam Bersatu yang meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden.

“Saya tidak nampak ada perpecahan dalam kalangan pemimpin Bersatu, malah, sokongan dan taat setia diberi kepada beliau bertambah kuat pula.

“Kalau sebelum ini ada sedikit kerenggangan, namun, yang berlaku telah merapatkan dukungan di semua peringkat parti,” katanya.

Hamzah turut menolak spekulasi bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu memanggilnya untuk siasatan kes tertentu sebagai susulan pendakwaan terhadap Muhyiddin.

“Apa sebab saya naik dipanggil? Jangan spekulasi benda yang bukan-bukan, kita sekarang ini menghadapi ujian dan cabaran yang begitu hebat.

“Sesiapa pun yang didakwa, parti ini akan tetap menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran, bukan dikira siapa bakal didakwa, sesiapapun yang didakwa secara salah, kami akan pertahankan,” katanya.

Muhyiddin didakwa di Mahkamah Tinggi di sini pagi tadi atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md. Yasin,76, didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menyalahgunakan kedudukan tersebut untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232,500,000 bagi parti itu.

21 Februari lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan lebih awal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima hampir RM7 juta bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan projek berkaitan lebuh raya daripada Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan jaminan RM400,000.

Beliau melepaskan jawatannya sebagai Ketua Penerangan bagi membersihkan nama melalui proses perundangan, namun masih berperanan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.- utusan

-HABIS-

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya