SAN DIEGO: Seorang pengawal keselamatan yang maut ditembak dalam serangan di sebuah masjid di San Diego dikenang sebagai wira berikutan keberaniannya menyelamatkan banyak nyawa dalam insiden tragis itu.
Menurut jurucakap Majlis Hubungan Amerika-Islam San Diego (CAIR-SD), Tazheen Nizam, pengawal keselamatan itu dikenal pasti sebagai Amin Abdullah, seorang bapa kepada lapan anak.
Jelasnya, Amin bertindak pantas menghalang penyerang bersenjata daripada memasuki kompleks masjid tersebut sehingga nyawanya sendiri terkorban.
Menurut ABC News, ketika insiden tembakan berlaku, kanak-kanak sedang menghadiri sesi persekolahan di sebuah sekolah swasta yang terletak dalam kompleks berkenaan.
“Tindakannya sangat berani dan berjaya mengelakkan tragedi itu menjadi lebih buruk. Tidak dapat dinafikan Amin benar-benar menyelamatkan banyak nyawa dalam kejadian itu,” kata Ketua Polis San Diego, Scott Wahl dalam sidang media.
Amin bersama dua lagi mangsa, Mansour Kaziha dan Nader Awad terbunuh dalam serangan dilakukan dua remaja lelaki yang identitinya masih belum didedahkan sebelum kedua-dua suspek membunuh diri, menurut polis.
Mereka yang mengenali Amin memberitahu media AS, mangsa seorang yang sangat mengambil berat tentang komuniti setempat sementara di media sosial pula, ramai menyifatkannya sebagai lelaki paling baik yang pernah mereka temui.
“Amin disayangi semua orang. Dia berdiri di situ setiap hari, sentiasa tersenyum, menyambut semua orang termasuk kanak-kanak yang datang ke sekolah. Dia cahaya yang menyinari, benar-benar wira dan syahid,” kata Tazheen.
Seorang rakan keluarga memberitahu Associated Press, Amin terkenal di masjid itu dan sudah berkhidmat di situ lebih sedekad.
Satu kutipan dana dalam talian untuk keluarga Amin berjaya mengumpul lebih AS$1.6 juta (RM7.5 juta).










