Jurulatih kecergasan mengaku tidak bersalah cabul gadis - Utusan Malaysia

Jurulatih kecergasan mengaku tidak bersalah cabul gadis

JURULATIH kecergasan sebuah gimnasium, Khaw Chee Young, 29, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada seorang gadis pada 7 Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang jurulatih kecergasan sebuah gimnasium mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencabul kehormatan dan menunjukkan kemaluan kepada seorang gadis pada 7 Mac lalu.

Tertuduh, Khaw Chee Young, 29, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan terhadapnya itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang masih bujang didakwa hendak mengaibkan kehormatan seorang gadis dengan cara menunjukkan kemaluan kepada gadis tersebut.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 9.40 pagi pada 7 Mac lalu, di aras dua sebuah gimnasium di All Season Place, Lebuh Raya Thean Teik, dekat sini.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa di lokasi dan masa yang sama telah menggunakan kekerasan jenayah dengan maksud untuk mencabul kehormatan gadis yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman.

Pegawai Pendakwa, Zaida Azwa Zainal memohon jaminan berjumlah
RM5,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama manakala jaminan berjumlah RM7,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.

Bagaimanapun, peguam HC Chan memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan dan wang jaminan hanya untuk memastikan kehadirannya ke mahkamah.

Selain itu, HC Chan berkata, pasport tertuduh juga telah tamat tempoh pada 2020 dan anak guamnya tidak berhasrat untuk memperbaharui pasport tersebut.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000
dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 17 April untuk sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya