‘Jiwa, peribadi Wan Azizah besar’ - Utusan Malaysia

‘Jiwa, peribadi Wan Azizah besar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Semestinya bangga, bahagia apabila diberi kesempatan terbaik dalam hidup untuk menjayakan watak yang bagi saya cukup ikonik dan dekat di hati semua.”

Itu jawapan pelakon popular Indonesia, Acha Septriasa apabila diajukan soalan mengapa dia menerima tawaran untuk melakonkan watak berdasarkan figura hebat, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Umum mengetahui betapa kuatnya wanita besi itu, menjadi tunjang kepada perjuangan dan nadi semangat Perdana Menteri kesepuluh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lantas, watak itu bukan sesuatu yang mudah untuk dipotretkan. Penjiwaan, karakter dan peribadi Wan Azizah itu adalah kunci yang melancarkan aliran penceritaan keseluruhan filem Anwar: The Untold Story.

Acha sendiri mengakui watak berdasarkan figura yang masih bernafas itu bukan semudah mematahkan sebatang pensel. Dia harus mengkaji, memahami dan ‘bersatu’ dengan ikon prolifik tersebut.

“Wan Azizah ialah tokoh di Malaysia. Karakter dan jiwanya sangat kuat dengan sifat keibuan serta kepimpinan. Sentiasa ada untuk suaminya walaupun dalam keadaan sesulit apa pun. Tidak semua ada peribadi begitu.

“Banyak sebenarnya hikmah yang kita boleh pelajari daripada watak ini. Perjuangan seorang anak, isteri, ibu bukan anak untuk keluarganya tetapi untuk negara. Perjuangan dan kemenangan penuh kejujuran.

“Proses untuk memahami serta mendalami karakter ini bukan mudah. Tetapi setiap langkah itu membuatkan saya lebih dekat dan mengagumi figura itu. Dia percaya dengan takdir, cinta dan Tuhan,”katanya.

Cukup berhati-hati untuk membawakan watak Wan Azizah itu, Acha juga berkongsi saat pertama kali dia bertemu sosok wanita hebat itu. Ketika itu, tiada siapa selain pihak produksi tahu tentang filem tersebut.

“Masa itu memang semuanya rahsia. Kami pertama kali bertemu di Malaysia. Jiwa keibuannya cukup mendamaikan saya. Walaupun kami bertemu di sebuah hotel, tetapi dia datang membawa makanan hasil air tangannya.

“Dia cukup merendah diri walaupun kita sedia maklum dengan perjuangan dan pencapaiannya. Sebelum pulang, dia menghadiahkan saya gelang tasbih dan berpesan untuk sentiasa mengingati Tuhan walau dalam apa jua keadaan,”ujarnya.

Berbicara tentang cabaran, Acha berkata, penguasaan dialek bahasa Melayunya yang tidak begitu fasih menyebabkan dia sedikit canggung dan terpaksa ‘melembutkan’ lidah untuk bercakap seperti orang tempatan.

“Walaupun saya pernah belajar di sini tetapi ya, sudah lama kan. Jadi kadang-kadang terkeluar juga slang Indonesia itu. Tetapi barisan pelakon terutama Farid Kamil sangat membantu. Dia seorang pelakon yang hebat.

“Mereka membantu saya untuk membentuk karakter Wan Azizah ini. Setiap perincian harus diteliti. Cara berjalan, bercakap, riak wajah dan percakapan harus selari. Itu bahagian paling sukar sebenarnya.

“Tetapi saya juga berbangga dan bersyukur dikelilingi kru produksi dan pengarah, Viva Westi. Mereka amat serius dan memastikan setiap babak serta dialog diperhalusi untuk menyempurnakan naskhah tersebut,

Anwar: The Untold Story yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia Mei depan mengangkat kisah perjuangan Anwar pada tahun terakhir sebelum dipecat daripada Kabinet.

Mendapat sentuhan pemenang Sutradara Terbaik Festival Filem Indonesia 2008, Viva Westi, filem itu turut menampilkan pelakon hebat antaranya Farid Kamil yang membawakan watak Anwar, Hasnul Rahmat (Tun Dr Mahathir Mohamad), Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya