Tiga warga Korea Selatan didakwa culik lelaki satu negara

Tiga warga Korea Selatan didakwa culik lelaki satu negara

TIGA warga Korea Selatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub, Pahang atas pertuduhan menculik seorang lelaki satu negara dengan mereka. - UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Tiga lelaki warga Korea Selatan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menculik seorang lelaki satu negara dengan mereka di Genting Highlands, dekat sini bulan lalu dalam kes berprofil tinggi yang dikaitkan dengan tuntutan wang tebusan mencecah jutaan ringgit menerusi mata wang kripto.

Bagaimanapun, pertuduhan terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 28 tahun hingga 40 tahun itu tidak dapat dibacakan selepas mereka didapati tidak memahami bahasa Melayu dan Inggeris.

Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Sharizat Ismail bersama Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh baharu bagi sebutan semula kes selain tidak menawarkan jaminan terhadap semua tertuduh.

Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 18 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa Korea hadir ke mahkamah.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh direman tanpa jaminan sementara menunggu prosiding seterusnya.

Menurut Sharizat, semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia menumpaskan sindiket penculikan didalangi warga Korea Selatan selepas menyelamatkan seorang lelaki yang didakwa diculik ketika dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur pada 17 April lalu.

Mangsa dipercayai diekori sebelum kenderaannya dihalang suspek dan dibawa serta dikurung di sebuah rumah inap di Melaka selama empat hari. Kumpulan penculik itu kemudian dipercayai menuntut wang tebusan sebanyak 10 juta mata wang kripto Tether (USDT) bersamaan kira-kira RM39.66 juta daripada keluarga mangsa.

Namun, keluarga lelaki terbabit dilaporkan  membuat bayaran sebanyak 3 juta USDT atau kira-kira RM11.9 juta bagi memastikan mangsa dibebaskan.

Siasatan turut mendapati mangsa merupakan individu yang dikehendaki pihak berkuasa Korea Selatan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan perjudian haram selain tersenarai dalam senarai Pertubuhan Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN