Jas Vision teruskan wakaf cermin mata di masjid ke-54 - Utusan Malaysia

Jas Vision teruskan wakaf cermin mata di masjid ke-54

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor (kanan) bersama-sama Jasniza Jamal (dua kiri) dan suaminya, Abdul Elias Zakaria selepas merasmikan Program Wakaf Cermin Mata untuk kegunaan jemaah di Masjid As-Salam, Chepir, Sik. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Butik cermin mata, Jas Vision meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka apabila memilih Masjid As-Salam, Chepir di sini sebagai lokasi ke-54 Program Wakaf Cermin Mata untuk kegunaan jemaah yang mengalami masalah penglihatan.

Sebelum ini jemaah daripada 53 masjid di seluruh Kedah memperoleh manfaat melalui penyediaan 36 bingkai cermin mata di setiap masjid terlibat yang dibekalkan syarikat itu.

Pemilik Jas Vision Sdn. Bhd., Jasniza Jamal berkata, program itu mula dianjurkan sejak 2007 selepas mendengar keluhan jemaah yang sukar mengikuti aktiviti keagamaan kerana me­ngalami masalah penglihatan.

“Mereka sering mengadu tidak dapat memberi perhatian sepenuhnya terhadap program membaca al-Quran, mengaji kitab dan lain-lain aktiviti anjuran jawatankuasa masjid.

“Melalui cermin mata pelbagai ‘power’ yang boleh di­pilih jemaah mengikut keperluan mata masing-masing, kita yakin jemaah lebih selesa dan bersemangat untuk beribadat kerana tidak lagi mempunyai masalah dari segi penglihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Jasniza, bagi memudahkan urusan penyimpanan cermin mata berkenaan, Jas Vision turut menyediakan sebuah almari khas di setiap masjid bagi memastikan peralatan itu tersedia pada bila-bila masa selain memudahkan jemaah menyimpannya kembali selepas digunakan.

“Kita akan membuat penyelenggaraan jika terdapat cermin mata yang disediakan dalam wakaf itu rosak atau menukar baharu untuk membolehkan jemaah terus menggunakan secara berterusan,” katanya.

Berbekalkan pengalaman selama 16 tahun dalam bidang optometri, Jasniza yang dibantu suami, Abdul Elias Zakaria kini mempunyai dua butik cermin mata, masing-masing di Baling yang dibuka pada 2007 dan sebuah lagi beroperasi di Taman Batik, Sungai Petani.

“Perniagaan kami tidak berteraskan kepada menjual cermin mata sebaliknya lebih terarah memberi perkhidmatan merawat mata kepada semua golongan yang mempunyai masalah penglihatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya