PETALING JAYA: MR D.I.Y. Group (M) Berhad melancarkan pembukaan premis terbaru MR D.I.Y. Plus di The Mines, sekali gus mengukuhkan komitmen kumpulan dalam memastikan janji ‘Always Low Prices’ lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, tabiat membeli-belah orang ramai sentiasa berubah dan pelanggan hari ini inginkan kemudahan tanpa menjejaskan kepelbagaian pilihan atau nilai.
“MR D.I.Y. Plus di The Mines menawarkan pengalaman membeli-belah baharu yang mengutamakan keperluan harian pelanggan, pada masa yang sama memberikan akses kepada pilihan produk yang lebih luas dalam satu lokasi.
“Dengan menjadi sebahagian daripada destinasi yang dikunjungi komuniti setempat, kami ingin memainkan peranan yang lebih besar dalam kehidupan seharian pelanggan-pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan.
Terletak di dalam salah sebuah pusat membeli-belah komuniti terkenal di Lembah Klang, MR D.I.Y. Plus di The Mines menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih luas dan komprehensif dengan menggabungkan MR D.I.Y., MR. TOY, MR. DOLLAR dan EMTOP dalam satu lokasi.
Pelanggan boleh menikmati pilihan yang lebih luas merangkumi produk penambahbaikan rumah, barang keperluan isi rumah, permainan, produk gaya hidup serta barangan keperluan harian dalam persekitaran membeli-belah yang lebih selesa dan mudah diterokai.
Beliau berkata, dengan format baharu yang ditawarkan di premis MR D.I.Y. Plus di The Mines, pelanggan kini boleh membeli-belah produk daripada pelbagai kategori.
“Ia termasuk produk penambahbaikan rumah, barang keperluan rumah, perkakasan, produk elektrik, alat tulis, permainan, aksesori automotif dan produk gaya hidup.
“Ruang susun atur kedai direka untuk menyokong pergerakan pelanggan, memudahkan pencarian produk dan memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih selesa.
“Premis baharu ini turut menyokong perkembangan tawaran peruncitan, hiburan dan komuniti The Mines, serta menggalakkan lebih ramai pelanggan untuk mengunjungi pusat membeli-belah ini,” ujarnya.
Bukan sekadar sebuah gedung runcit, premis itu turut membawakan konsep ’retailtainment’ dengan penyediaan ruang menarik secara visual dan mesra media sosial, menggalakkan pelanggan untuk meneroka dan berinteraksi.
Ruang khas untuk aktiviti komuniti dan bengkel hujung minggu turut memberikan nafas baharu kepada premis ini, menjadikan ia sebuah ruang meriah untuk keluarga dan komuniti setempat berkumpul, berinteraksi serta mempelajari ilmu baharu bersama. –UTUSAN










